Politik

UMNO hantar surat kepada ROS, MKN untuk adakan pemilihan

UMNO akan menghantar surat kepada Ketua Pengarah Jabatan Perdaftaran Pertubuhan dan Ketua Pengarah Majlis Keselamatan Negara bagi meminta nasihat dan garis panduan untuk melakukan pemilihan parti tahun ini.

Perkara itu diputuskan dalam Mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO yang berlangsung hari ini.

Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, nasihat itu perlu bagi mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 dan selaras dengan peraturan yang termaktub dalam Perlembagaan UMNO bahawa pemilihan perlu diadakan dalam tahun ini.

“Ini bagi memastikan proses pemilihan parti yang bakal melibatkan mesyuarat perwakilan UMNO cawangan-cawangan termasuk sayap-sayap Wanita, Pemuda dan Puteri berjumlah 66,287 mesyuarat di semua 191 Bahagian seluruh negara.

“Melibatkan ahli seramai 3.3 juta orang dapat diadakan dengan berkesan dan lancar mengambil kira jumlah jangkitan Covid-19 yang meningkat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Majlis Tertinggi UMNO turut mendesak dan mengesyorkan kepada Kerajaan agar Parlimen dan Dewan Undangan Negeri kembali bersidang selaras dengan titah Yang di-Pertuan Agong.

Desakan itu dibuat supaya kerajaan tidak dilihat cuba memandulkan amalan demokrasi berparlimen.

Selain itu Parlimen dan Dewan Undangan negeri juga menjadi tempat untuk semak dan imbang dalam kalangan wakil rakyat supaya Kerajaan tidak melakukan tindakan sesuka hati dan membelakangkan kepentingan dan kebajikan rakyat.

“Mesti ada akauntabiliti terhadap segala aspek kewangan negara termasuklah perbelanjaan wang rakyat, peningkatan jumlah hutang negara yang melangkaui 60 peratus daripada Keluaran Dalan Negara Kasar (KDNK).

“Penggunaan buat pertama kali dalam sejara Kumpulan Wang Amanah Negara (KWAN) yang merupakan benteng terakhir negara untuk menghadapi keadaan sekiranya sumber asli negara kehabisan,”katanya.-SM

 

 

(Visited 259 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button