Nasional

UMNO Hang Tuah Jaya lulus usul sokong Ismail Sabri calon PM

UMNO Bahagian Hang Tuah Jaya meluluskan usul sebulat suara menyokong Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai calon Perdana Menteri ke-10 jika Barisan Nasional (BN) memenangi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Ketuanya, Senator Datuk Mohd. Ridhwan Mohd. Ali berkata, keputusan tersebut dibuat mengikut ketetapan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO dan keputusan pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) Khas yang menamakan Ahli Parlimen Bera sebagai calon Perdana Menteri.

Selain itu menurutnya, usul agar calon dari UMNO dikekalkan bertanding di Parlimen Hang Tuah Jaya turut mendapat sokongan daripada 490 perwakilan yang hadir pada Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Hang Tuah Jaya, petang semalam.

“Calon UMNO wajar bertanding di Hang Tuah Jaya kerana majoriti adalah pengundi Melayu yang dan BN dilihat mampu merampas kembali kerusi tersebut yang dimenangi oleh calon daripada Pakatan Harapan (PH) pada PRU14 yang lalu.

“Kami bekerja kuat sejak BN tewas pada 2018 dan demi menebus semula kerusi Parlimen Hang Tuah Jaya kita akan memastikan kemenangan calon dari UMNO dapat menyumbang kepada kemenangan BN serta menjadi kerajaan yang dominan,” ujarnya hari ini.

Mohd. Ridhwan berkata, beliau yakin calon UMNO mampu menang di Parlimen Hang Tuah Jaya dengan sokongan padu daripada parti komponen daripada MIC dan MCA di negeri itu.

Selain dua usul tersebut, katanya, perwakilan juga turut meminta kerajaan untuk mengkaji semula sistem kehakiman dan perundangan
kerana kuasa pemisahan dilaksanakan antara peguamcara dan pendakwa di pejabat peguam negara.

“Mereka yang didakwa perlu diberikan peluang seluas-luasnya untuk membela diri dengan mengemukakan apa sahaja bukti yang ada demi untuk mempertahankan hak individu sebagai warganegara Malaysia,” ujarnya.

Menurutnya, sidang perwakilan juga mahu hubungan keharmonian, solidarity dan kesatuan fikrah perlu wujud di antara Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Perdana Menteri termasuk dalam kalangan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO di samping seluruh barisan kepimpinan di semua peringkat menghadapi PRU15. – SM

(Visited 199 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button