Hiburan

Showcase Awie Wings Raikan Cinta Ramadan 16 April ini

MELAKA 23 MAC – Kumpulan rock legenda Wings diketuai penyanyi tersohornya, Datuk Awie bakal tampil
menerusi Showcase Datuk Awie Raikan Cinta Ramadan di Hotel LaCrista pada 16 April ini.

Selain Awie, empat rakannya iaitu Syam (gitar), Edrie (gitar), Eddie (bass) dan Black (dram) bakal
memeriahkan showcase berkenaan.

Awie berkata, beliau tidak sabar untuk bertemu peminat setianya di Melaka dan menjanjikan persembahan
paling mantap walaupun akan membawa banyak lagu bersempena bulan Ramadan.

Menurutnya, dia akan mendendangkan beberapa lagu yang berkonsepkan ketuhanan dan kerohanian bagi mengambil
keberkatan bulan suci Ramadan.

“Bersempena bulan Ramadan cukup sesuai membawa lagu keagamaan, lagu raya dan beberapa lagu dalam album
solo saya serta beberapa lagu hits Wings.

“Saya akan cuba membuat persembahan terbaik seperti showcase yang sama tahun lalu yang paling penting
untuk menghiburkan peminat yang lama menantikan persembahan dari Wings,” ujarnya dalam sidang akhbar di
Hotel LaCrista semalam.

Yang turut hadir Pengurus Besar Hotel LaCrista, Datuk Rosthman Ibrahim dan Pengurus Projek, Mubarak Akhtar
atau Hatta.

Awie Entertainment dan HS Shazlicious sekali lagi bergandingan menganjurkan showcase yang akan berlangsung
hampir dua jam itu.

Sementara itu Mubarak berkata, mereka akan menampilkan lagu-lagu Wings yang banyak berunsur islamik dan
kerohanian seperti Dari Tuhan, Sayap Illusi, Anugerah dan sebagainya.

“Kami percaya peminat tidak akan melepaskan peluang hadir untuk berbuka puasa bersama mereka, selain
mengikuti program keagamaan dan menonton persembahan Wings,” katanya.

Menurutnya, acara pada malam berkenaan juga akan diisi dengan aktiviti kerohanian bermula dengan sesi
tazkirah sebelum majlis berbuka puasa.

“Kita akan dibawa mengikuti sesi tazkirah Ramadan daripada Maulana Wan Helmi Al Hafiz pada jam 6.45
petang. Manakala selepas berbuka dan solat Maghrib akan diadakan penyerahan sumbangan dari Wings kepada
anak-anak yatim atau asnaf.

“Kemudian kita akan menunaikan solat Isyak dan selepas itu solat Terawih sebanyak lapan rakaat yang
dipimpin oleh Maulana Helmi.

“Kumpulan Wings dijadualkan mengadakan persembahan bermula pukul 9.40 malam dan dijangka selesai pada
pukul 11.30 malam,” katanya.

Harga jualan meja ditawarkan untuk Wings Raikan Cinta Ramadan untuk kedua-dua lokasi dikategorikan kepada:

Super VVIP – RM12,000 untuk satu meja memuatkan lapan orang atau RM1500 seorang.

Bagi VIP adalah sebanyak RM5000 untuk satu meja memuatkan lapan orang atau RM780 seorang.
Bagi Gold pula RM4000 bagi satu meja memuatkan lapan orang atau RM530 seorang manakala Silver berharga RM3000 untuk satu meja memuatkan lapan orang atau RM400 seorang.

 

 

 

(Visited 414 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button