Politik

UMNO dan Sebuah Pendirian

UMNO tidak pernah diasaskan demi kepentingan lain kecuali memperjuangkan kepentingan bangsa Melayu dan rakyat Malaysia, memuliakan Islam, memelihara kehormatan institusi raja dan membangunkan negara.

Pendirian ini akan terus menjadi pendirian UMNO. Sebagai parti politik, kejelasan sebuah pendirian sangat penting. Tanpa pendirian, UMNO jadi hanya sebuah parti terdaftar, bukan sebuah perjuangan.

Justeru dalam keadaan negara yang sangat meleset, UMNO wajar tampil dengan sebuah pendirian. Membiarkan kemelesetan negara ini menerus, laksana UMNO merestuinya.

Pendirian UMNO mesti berpaksikan aspirasi rakyat, demi rakyat dan untuk rakyat.

Bila sistem kesihatan semakin parah, ekonomi merudum dan memburuk, kemiskinan meningkat, mereka yang membunuh diri semakin banyak, kelaparan telah menjadi nyata, bendera putih, hitam dan segala warna telah dikibarkan, demokrasi diselewengkan, malah institusi Raja di sanggah dengan tiada susila, UMNO tidak boleh menjadi sebahagian dari kemelesetan ini.

UMNO mesti senafas dengan kesusahan rakyat, bukan kuasa dan kedudukan.

Fitrah UMNO adalah parti untuk orang kebanyakan serta biasa-biasa, maka untuk merekalah UMNO harus bersuara dan berjuang.

Kepada semua ahli UMNO, walau dipelusuk desa dan perbatasan nan terpencil, atau di pulau paling jauh, mahupun di kota dan bandar seluruh negara, yakinlah, pendirian kepimpinan UMNO tidak akan tergelincir dari keutamaan rakyat, negara dan parti.

Ia pasti selari dengan keputusan perwakilan perhimpunan agung.

Tiada individu lebih besar dari UMNO. Tiada tokoh lebih penting dari parti dan rakyat. Tiada kuasa lebih besar dari kuasa rakyat. Tiada perjuangan lebih bererti dari perjuangan untuk rakyat yang marhain dan yang terjejas.

Insha Allah, UMNO telah ada sebuah pendirian dan jalan kehadapan. Semoga jalan dan pendirian yang direncanakan ini adalah sebaiknya jalan dan pendirian untuk rakyat, tanahair dan parti kita UMNO.

Kepada ahli dan rakyat, UMNO sandarkan masa depannya, insha Allah.

Dipetik dari Facebook

Dato Seri Utama

Mohamad bin Haji Hasan

Timbalan Presiden UMNO

(Visited 265 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button