Politik

UMNO bangkit daripada kekalahan dengan semangat baharu

SAYA pernah menulis tentang UMNO ibarat burung botak yang hampir pupus dan mati beragan, kerana sakit tua tetapi bangkit semula dengan segala kekuatan baharu.

Ketika tulis itun digarap ia adalah perhimpunan agung UMNO terakhir sebelum menghadapi pilihan raya umum pada tahun 2018. Dan ketika itu memang telah dapat dihidu nasib buruk yang bakal menimpa parti terbesar orang Melayu itu.

Bagaimanapun para pemimpinnya masih lagi hidup dalam penafian dan yakin bakal meraih dua pertiga sokongan rakyat dan membentuk kerajaan yang kukuh, sedangkan realiti tidak sebegitu.

Ketika itu hanya Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sahaja yang melahirkan kebimbangan beliau bahawa UMNO akan berdepan kehancuran jika ahli-ahli serta pemimpin parti berkenaan tidak berbuat sesuatu.

Dalam ucapan beliau semasa perhimpunan agung itu jelas menggambarkan UMNO bakal direnggut rohnya ke alam barzah dan akhirnya berlaku.


Saya antara wartawan yang masih membuat liputan perhimpunan agung UMNO pasca kekalahan pilihan raya ke-14 itu dan merupakan antara wartawan yang jumlahnya boleh dikira dengan jari.

Tiada lagi siaran langsung oleh televisyen tempatan, dan hanya wartawan junior yang ditugaskan membuat liputan perhimpunan berkenaan.

Ketika itu UMNO hanya menggunakan siaran langsung melalui media sosial bagi memboleh persidangannya disebar luas. Setiap hari perhimpunan UMNO berdepan dengan berita yang diputar belit bagi menampakkan kebobrokan parti dan pemimpinnya.

Namun ahli UMNO tetap cekal, begitu juga para pemimpinnya. Dan terbukti dengan kekuatan akar umbi, parti itu berjaya memenangi dua pilihan negeri dengan hebat membentuk kerajaan dengan dua pertiga majoriti dan yang terkini di Johor.

Ini pasti memberi semangat kepada para ahli dan pemimpin, walaupun terdapat persoalan pelantikan menteri besar Johor dan layan yang buruk diberikan kepada perdana menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Bagaimanapun ia adalah perkara biasa di dalam politik kerana semua sedia maklum hak melantik menteri besar bukan sepenuhnya ditentukan oleh parti, tetapi perlu mendapat perkenan sultan, manakala isu layan terhadap perdana menteri ia adalah jelas mengikut hierarki parti.

Perdana Menteri buat pertama kalinya bukan presiden UMNO kerana Ismail Sabri ialah Naib Presiden UMNO, ia menjadi canggung dalam banyak situasi.

Namun dua isu bukanlah terlalu besar kerana UMNO perlu memastikan pilihan raya umum ke-15 yang bakal diadakan bila-bila masa hari ini hingga tamat penggal pada tahun hadapan tidak menjadi satu lagi kisah malang parti itu.

Perkara utama yang harus dipamerkan oleh para pemimpin dan ahli UMNO bahawa mereka telah insafkan selepas disekolahkan rakyat pada pilihan raya yang lalu.

Jika mereka gagal berbuat demikian, rakyat akan sekali lagi menghukum UMNO dan Barisan Nasional (BN) ke dalam lubang hitam dan kali ini memang amat sukar untuk mereka mencari jalan keluarnya.

Seperkara yang perlu dijelaskan pada persidangan kali ini hubungan UMNO dengan Pas yang semakin renggang, walaupun Pas yang menghulurkan tangan menarik UMNO dari jurang gelap, tetapi kini memilih untuk meninggalkan UMNO dalam banyak hal dan lebih selesa bersama-sama Bersatu di dalam Perikatan Nasional.

Apakah para pemimpin Pas akan dijemput lagi pada persidangan sekali ini dan dimalukan sekali lagi seperti perhimpunan yang lalu? Ia menjadi persoalan pokok.

Persoalan yang paling besar adakah di hari terakhir persidangan parti itu akan meluluskan usul untuk mendesak perdana menteri membubarkan parlimen bagi membolehkan pilihan raya umum diadakan segera?

(Visited 285 times, 1 visits today)

Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button