Nasional

UMNO Bahagian Tangga Batu buat laporan polis terhadap Muhyiddin Yassin

Wartawan Suara Merdeka

MELAKA 18 Jun – UMNO Bahagian Tangga Batu membuat satu laporan di Balai Polis Sungai Udang malam tadi bagi
mendesak polis membuat siasatan terhadap bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang didakwa
menerima dana RM1.3 juta daripada syarikat pembekal perkhidmatan visa luar negara (VLN), Ultra Kirana Sdn.
Bhd. (UKSB).

Ketuanya, Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad berkata, walaupun Muhyiddin dalam satu kenyataan menafikan
dakwaan tersebut sebaliknya beliau tetap mahu polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) untuk
menyiasat perkara tersebut.

Menurutnya, beliau yakin pembabitan Muhyiddin ada kebenarannya seperti yang didedahkan oleh saksi
pendakwaan ke-17 (SP17), David Tan sewaktu pemeriksaaan balas peguam Datuk Ahmad Zaidi Zainal yang
mewakili Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi ketika menunjukkan kandungan lejar milik UKSB di
Mahkamah Tinggi Shah Alam, semalam.

Beliau berkata, Muhyiddin mesti didakwa atas tuduhan yang sama yang dikenakan ke atas Presiden UMNO. Salah
atau tidak, beliau perlu menjawab di mahkamah dan bukannya membuat kenyataan media menafikan pendedahan
oleh saksi tersebut.


“Saya tidak nampak pendedahan yang dibuat oleh David Tan itu sengaja direka-reka. Saksi pendakwaan ke-17
itu adalah seorang yang terpelajar dan bijak.

“Tidak mungkin David Tan sengaja mengada-adakan cerita kerana dia juga tahu sekiranya berbohong di
Mahkamah Tinggi dia boleh dipenjara tujuh tahun mengikut dibawah Seksyen 193 Kanun Keseksaan jika
keterangan diberikan palsu,” ujarnya kepada pemberita selepas membuat laporan di Balai Polis Sungai Udang.

Beliau turut ditemani Presiden Laskar Cyber Malaysia, Datuk Lokman Noor Adam dan hampir 50 orang berada di
balai polis berkenaan.

Sementara itu Lokman berkata, beliau turut bersependapat dengan Mohamad Ali bahawa polis dan SPRM wajar
menyiasat dengan terperinci pendedahan bukti baharu yang dibuat oleh bekas pengurus pentadbir UKSB itu.

Menurutnya, David Tan sudah mengesahkan Muhyiddin menerima dana politik sebanyak RM1.3 juta daripada UKSB
pada tahun 2018 ketika beliau merupakan menteri KDN.

Beliau menambah Muhyiddin tidak boleh menafikan beliau telah dimasukkan ke hospital sewaktu menerima dana
tersebut daripada UKSB.

“Saya minta polis siasat penafian bekas Perdana Menteri itu yang memberitahu beliau (Muhyiddin) bercuti
sebulan sebab pada tarikh tersebut katanya dia berada di Singapura. Kalau ikut sebuh artikel jelas
membuktikan pada masa itu beliau sudah berada di Malaysia,” ujarnya.

Beliau kecewa kerana Ahmad Zahid didakwa di mahkamah pada 2018 manakala Muhyiddin tidak dikenakan tindakan
yang sama kerana beliau kemudiannya menafikan dakwaan itu dan berkata ia sedia disiasat oleh SPRM.

“Kita mahu Muhyiddin menjawabnya di mahkamah dan bukan sekadar membuat kenyataan media menafikan perkara
yang didedahkan oleh David Tan,” ujarnya.

(Visited 56 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Back to top button