Rencah Hidup

Onde-onde kosong tanpa gula kabung buatkan netizen bengang

KUIH buah melaka atau juga dikenali sebagai onde-onde atau klepon bagi Indonesia, sedia dikenali sebagai kuih tradisional yang luarnya dibaluti kelapa dan didalamnya berintikan gula kabung atau gula melaka atau gula gerek (kata orang utara).

Resepi turun temurun ini tidak pernah “diderhaka” oleh sesiapa yang membuatnya kerana jika tidak, bukan sahaja tidak boleh dinamakan sebagai buah melaka atau onde onde malah rasa juga tidak enak.

Buah melaka sepatutnya ada gula kabung yang akan cair di dalam mulut apabila memakannya. – GAMBAR GOOGLE

Penulis ingat lagi masa di sekolah rendah ada sebuah lagu mengenai buah melaka iaitu senikatanya “buah melaka kuih asli, luar tepung dalamnya inti, sedap rasa enak sekali”.

Bagaimanapun seorang netizen yang merupakan peminat kuih buah melaka atau juga dikenali onde-onde terkejut apabila sebaik merasai kuih tradisional yang dibelinya itu bagaikan palsu.

Mana tidaknya, biasanya bahagian paling menarik ketika menikmati kuih ini apabila merasai gula kabung yang cair di dalam mulut.

Bagaimanapun kali ini kata seorang kakitangan kerajaan ini, beliau kecewa apabila merasa tertipu dengan kuih buah melaka yang dibelinya.

Akibat rasa tidak puas hatinya itu terus dimuatkan pada status akaun Facebook (FB)nya.

Ini tangkap layar yang dimuat oleh seorang netizen apabila membeli buah melaka kosong.

“Sedih la ni kalau makan kuih buah melaka (ondeh-ondeh) versi penyegan/pemalas… Didalam sepatutnya ada gula merah/gula gerek… Sekarang depa ni buat keja senang…uli gula putih truih dgn tepung… Nk kata penyegan ka atau tak gheti buat kuih…”

Beliau telah membeli kuih ini di sebuah gerai kuih di Kangar dengan harga RM1.30 sebanyak 10 biji.

“Mula makan tu, saya ingat mungkin peniaga terlupa letak gula kabung tapi bila makan lagi dan lagi ternyata kesemuanya rasa tepung yang diuli sekali dengan gula pasir,” katanya.

Yang pelik, kenapa penjual ini mengambil jalan mudah mengaul sekali gula putih bagi memberi rasa manis.

Dalam keadaan sekarang pula tak berbaloi pula apabila menggunakan gula putih yang semakin mahal.

Pastinya peminat buah melaka tidak akan mudah ditipu kerana tetap ingin merasai gula kabung yang cair di dalam mulut.

Bukan semua inovasi makanan ini boleh diterima kerana kekurangan bahan utama akan merosakkan keenakannya.

Termasuklah buah melaka, kena juga berintikan ketulan persegi gula kabung sebagai bahan wajib membuat kuih tradisional ini.

Ini lah buah melaka kosong tanpa gula kabung yang buatkan netizen rasa terkilan. – GAMBAR TANGKAP LAYAR

Penulis hari ini sekali lagi pergi mencari buah melaka dari gerai sama tetapi langsung tidak kelihatan.

Kemungkinan buah melaka itu sudah habis atau tidak lagi dihasilkan oleh pembuat kuih berkenaan setelah menyedari ia mengundang kemarahan pembeli.

Apapun peniaga atau yang membuat kuih tradisional khususnya untuk jualan semestinya berusaha mengekalkan keaslian resepi dan cuba mengambil jalan pintas kerana malas atau ingin mendapat untung sahaja. – SM

BACA Tepung Bungkus, Pulut Dakap masih diwarisi Melayu Selatan Thailand

BACA Inovasi representasi kuih tradisional Melayu di Pasar Sehari Ban Chin, Satun

(Visited 139 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button