Politik

UMNO Padang Besar mahu Shahidan, anggap Zahid terdesak

UMNO Bahagian Padang Besar menolak pelantikan Ketua UMNO Bahagian Kangar Datuk Seri Azlan Man sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perlis seperti yang diputuskan oleh Presiden UMNO Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi semalam.

Ketua UMNO Bahagian Padang Besar Datuk Zahidi Zainul Abidin menegaskan, tindakan Ahmad Zahid menyingkirkan Datuk Seri Shahidan Kassim sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perlis merupakan langkah yang cukup terdesak dan tidak masuk akal.

“Kami menolak keras pelantikan Azlan. Langkah Ahmad Zahid melantik Azlan hanya bakal menjahanamkan UMNO negeri. Kami UMNO Padang Besar dan Arau menyatakan pendirian jelas menolak pelantikan Azlan.

“Buat apa hendak lantik pemimpin yang kawasannya kalah teruk dalam pilihan raya lalu. Kangar hanya menang dua kerusi DUN daripada lima selain kalah di Parlimen,” katanya yang juga Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri Perlis.

Perlis hanya mempunyai tiga bahagian UMNO iaitu Padang Besar, Arau dan Kangar. Shahidan yang dipecat semalam merupakan Ketua UMNO Bahagian Arau.


Sementara itu menurut Utusan Malaysia, Azlan mengucapkan terima kasih dan penghargaan kepada Ahmad Zahid kerana memberi kepercayaan serta keyakinan kepadanya untuk mengetuai UMNO Perlis.

Azlan yang merupakan Menteri Besar Perlis juga menyatakan kesediaan memikul amanah tersebut dengan sebaik-sebaiknya.

Katanya, dia akan mengadakan mesyuarat dengan jawatan kuasa perhubungan negeri serta tiga bahagian UMNO Perlis dalam tempoh terdekat.-SM

(Visited 225 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Back to top button