NegeriRencah Hidup

Islam harmoni: Titah Raja Perlis tarik perhatian Menteri Sumber Manusia

Tuanku Syed Faizuddin Putra berkenan menyaksikan sumbangan CSR HRD Corp Cares sebanyak RM1,500 setiap seorang sempena program Kayuhan KESUMA di sekitar Kuala Perlis.

MENTERI Sumber Manusia, Steven Sim amat tertarik membaca titah Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail bahawa ‘Pegangan Islam dalam negeri Perlis hendaklah harmoni untuk semua pihak tanpa mengira bangsa dan agama, Islam yang diajarkan di negeri ini hendaklah bersifat universal yang kebaikan dan rahmatnya merangkumi semua kaum dan agama’.

Beliau turut memetik Amanat Ketujuh dari ‘Titah 7 Amanat’ Tuanku Raja Perlis’ yang dipaparkan di masjid-masjid negeri ini bahawa ‘Pendekatan Islam yang diajar kepada anak-anak di sekolah dan rakyat jelata hendaklah bebas dari unsur perkauman dan permusuhan antara rakyat disebabkan perbezaan agama dan kaum semata’.

Steven Sim berucap sedemikian selepas mengiringi Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan anakanda bongsu baginda, Syed Sirajuddin Areeb Putra Jamalullail dalam program Kayuhan Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) yang berlangsung di sekitar Kuala Perlis.

Tuanku Syed Faizuddin Putra berkenan menyaksikan sumbangan CSR HRD Corp Cares sebanyak RM1,500 setiap seorang sempena program Kayuhan KESUMA di sekitar Kuala Perlis.

Turut terlibat sama dalam kayuhan tersebut adalah Ketua Setiausaha KESUMA, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud, Pengerusi Lembaga Pengarah HRD Corp, Datuk Abu Huraira Abu Yazid, Ketua Eksekutif HRD Corp Datuk Wira Shahul Dawood dan Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Mohd Nazim Mohd Noor.

Kayuhan amal ini telah dianjurkan oleh Perbadanan Pembangunan Sumber Manusia (HRD Corp) dengan kerjasama Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) bertujuan untuk menyantuni dan menziarahi serta menyalurkan bantuan kepada golongan asnaf yang memerlukan.

Tuanku Syed Faizuddin Putra merangkap yang DiPertua MAIPs berkenan menyampaikan sumbangan dari MAIPs berupa wang tunai sebanyak RM700, Kits MAIPs peduli serta beras fidyah kepada 3 asnaf terpilih pada kali ini.

Setiap penerima juga menerima sumbangan Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) HRD Corp Cares sebanyak RM1,500 setiap seorang.

Tuanku Syed Faizuddin Putra bersama anakanda, Syed Sirajuddin Areeb Putra berkenan singgah di salah sebuah lokasi sempena program Kayuhan KESUMA di sekitar Kuala Perlis.

Steven Sim menyatakan rasa teruja kerana dapat sekali lagi mengiringi Tuanku Raja Muda Perlis untuk turun padang, berpakaian biasa, berbasikal dan bukan sahaja untuk meninjau negeri malah menghulurkan bantuan dan sumbangan kepada rakyat jelata yang memerlukan.

Beliau turut menyatakan KESUMA dan agensi-agensinya akan terus bekerja dengan keras dan berusaha untuk membantu dan meningkatkan lagi tahap tenaga kerja di Negeri Perlis untuk jangka masa panjang melalui pelbagai inisiatif yang diperkenalkan di bawah kementerian dan akan melaksanakan beberapa program bersama pihak MAIPs sepertimana yang disarankan oleh Raja Muda untuk memanfaatkan rakyat Perlis. – SM

BACA Terap nilai Islam dalam setiap tindakan – Raja Muda Perlis

(Visited 24 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button