fbpx
Politik

UMNO 74: Walaupun berada di pentas kerajaan, masa depan UMNO masih berliku

MASA depan UMNO masih berada dilaluan berliku. Perjalanan parti keramat orang Melayu itu masih jauh dan cabaran sentiasa mendatang walaupun UMNO kini berada di pentas kerajaan.

Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, tidak banyak yang boleh dibanggakan dengan kedudukan UMNO sekarang. Penyertaan serta sokongan parti itu dalam kerajaan hanyalah untuk menamatkan pemerintahan ala politburo.

Penyertaan UMNO dalam kerajaan juga bagi mengekang berlanjutnya era pemerintahan dinasti di Malaysia  sekaligus menamatkan era kegilaan kuasa dan penipuan yang telah membelenggu rakyat selama 22 bulan.

“Kita tidak megah dengan kuasa, kita bukan gila kuasa tetapi perjuangkan laluan masa depan yang lebih gemilang untuk rakyat. Dengan Melayu sebagai teras pemerintahan dan Islam dijadikan tiang serinya, keterlanjuran silam boleh dielakkan.

“UMNO hari ini belum ada kuasa penuh untuk mencantumkan semua aspirasi rakyat. Masa depannya masih dihampar laluan berliku. Perjalanan masih jauh dan cabaran sentiasa mendatang. Oleh itu, semua ahli perlu bertekad untuk bersatu hati demi mengukuhkan parti dan sedia menterjemahkan impian kepada kenyataan,” kata Ahmad Zahid sempena ulangtahun UMNO ke-74.


Justeru beliau meningatkan ahli parti untuk tidak berasa selesa dengan kedudukan UMNO ketika ini.

Menurutnya, UMNO memerlukan kesinambungan kepemimpinan yang mampu membawanya mencapai matlamat bangsa dan negara.

“Masa depan parti terletak di bahu semua ahli. Sejauh mana kita mampu menyesuaikannya dengan geo-politik negara, kitalah yang mengaturnya.

“Sempena ulang tahun UMNO ini, saya ingin merayu agar ditamatkan percaturan politik peribadi kerana ia sudah menyaksikan tercetusnya pelbagai masalah dalaman parti. Jika kita menjurus kepada perpaduan tekad dan kesetiaan kepada pemimpin, saya yakin UMNO tidak lagi boleh diganggu-gugat,” kata Ahmad Zahid.

Show More

KHAIRULANUAR YAHAYA

Khairulanuar mempunyai pengalaman sebagai wartawan di Karangkraf, Bernama TV dan terakhir di Utusan Malaysia. Pernah membuat liputan kemanusiaan di Gaza, Pakistan, Jepun, Somalia, Lubnan dan Syria. 'Kehilangan' jurukamera, Noramfaizul ketika sama-sama bertugas di Somalia sesuatu yang tidak pernah beliau lupakan.

Related Articles

Back to top button