Politik

Umat Islam perlu tolak calon terkait rasuah – UMMAH

KUALA LUMPUR 13 Nov. – Gerakan Pembela Ummah (UMMAH) melalui sekretariatnya dalam satu deklarasi menggesa seluruh umat Islam-Melayu menunaikan tanggungjawab bernegara dengan keluar mengundi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) 19 November ini.

Selain itu, UMMAH juga menasihatkan umat Islam agar mengundi calon yang mempertahankan kedaulatan agama, bangsa dan negara.

Menurut UMMAH, calon tersebut juga perlu berintegriti iaitu bersih daripada rasuah, berkemampuan, Amanah, mempertahankan dan memperjuangkan nasib anak bangsa.

Calon yang mendatangkan mudarat kepada tiga perkara asas berikut Bagaimanapun haruslah ditolak, katanya.

Dalam Deklarasi Muzakarah Cendekiawan, Pemuka Melayu NGO Islam Kuala Lumpur yang bersidang pada Sabtu, menyatakan 14 resolusi merangkumi gesaan pada pihak yang menjadi kerajaan selepas PRU-15.


“Kerajaan, pemimpin Muslim dan rakyat Malaysia perlu berusaha untuk memperkasa agenda penyatuan ummah dan semangat patriotisme.

“Seterusnya merayu umat Islam agar mengundi calon dan parti yang berusaha memperkasa perpaduan Melayu Islam demi kekuatan politik, ekonomi dan pembangunan negara,” kata UMMAH dalam kenyataan medianya yang memetik resolusi deklarasi.

Selain itu, dalam kenyataan sama, UMMAH juga menyeru pihak kerajaan dan berkuasa agama negeri memelihara kedaulatan dan kesucian Islam sebagai agama Persekutuan serta institusi Raja dan ajaran Ahli al-Sunnah wal Jamaah daripada dihina dan diganggu-gugat oleh individu, kumpulan dan institusi yang biadap.

“Pihak kerajaan juga wajib menjadikan ekonomi Bumiputera sebagai pelaksanaan manifesto dengan mewujudkan Kementerian Hal Ehwal Pribumi bagi melaksanakan Dasar Ekonomi Baru (DEB) dan memperkasa sistem Ekonomi Islam, merapatkan jurang telekomunikasi di desa, selain memaksimakan sumber tenaga dan komuniti niaga Melayu.

“(UMMAH) mendesak kerajaan baru selepas PRU-15 segera keluar daripada perjanjian CPTTP kerana ancaman CPTTP yang ditandatangani akan berkuatkuasa pada 29 Nov 2022.

“Pihak kerajaan perlu fokus memperkasa bahasa Melayu dalam pendidikan serta meningkatkan kualiti pendidikan dengan kurikulum yang fleksibel dan program pemulihan menangani ‘Lost Generation’, menambahbaik fasiliti digital pendidikan dan TVET 4.0 serta memartabatkan profesionalisme keguruan dari aspek keringanan beban tugas, peluang kerjaya, geran penyelidikan dan perjawatan tetap guru Kafa,” lapor SuaraTV.

Selain itu, dalam deklarasi sama turut menuntut agar kerajaan memperkasakan pendidikan tinggi melalui penekanan survival Melayu-Islam dalam pelan penggantian kepimpinan tertinggi, kenaikan pangkat seimbang bagi bukan S&T, pembelajaran secara dalam talian, penguasaan bahasa Inggeris, mengoptimum aset wakaf dan kesukarelawanan, selain melibatkan profesional Melayu-Islam dalam proses pembuatan polisi negara.

Pihak kerajaan persekutuan dan negeri juga wajib membantu dana peruntukan berkapita tahunan dan keperluan semasa sekolah-sekolah agama rendah, menengah agama rakyat, sistem pondok dan madrasah serta pusat-pusat tahfiz termasuklah pembinaan, menaik taraf dan penyelenggaraan infastuktur fizikal sekolah, kebajikan pelajar dan guru agama.

“Pihak kerajaan khasnya Kementerian Pengajian Tinggi perlu menggembalikan semula Pendidikan Islam dan Pendidikan Moral sebagai Mata Pelajaran Umum (MPU) yang wajib diambil di IPT/universiti seperti diamalkan sejak 80-an serta hasrat terkandung dalam Rukun Negara, Falsafah Pendidikan Kebangsaan dan Akta Pendidikan 1996.

“Pihak kerajaan perlu memberi perhatian dan bantuan kewangan kepada NGO-NGO dalam gerak kerja membantu kesejahteraan rakyat serta mengiktiraf keberadaan NGO sebagai pendamai yang mengharmonikan suhu politik negara, selain membantu kebajikan rakyat serta memajukan ekonomi dan bidang keusahawanan mereka, ” kata UMMAH.

Selain itu, deklarasi itu juga menggesa pihak kerajaan memberi perhatian kepada program-program pembangunan wanita, keluarga dan anak muda serta bertindak mengekang penularan pemahaman plural, liberal, budaya songsang LGBT dan penyalahgunaan dadah yang boleh merosakkan akidah, hubungan sosial dan hidup bermasyarakat.

“Muzakarah ini dijadikan suatu Sekretariat Tetap Pemikir Melayu-Islam yang berfungsi sebagai badan perunding, pemantau dan pengkritik bagi membantu kerajaan melaksanakan agenda utama selaras dengan prinsip utama perlembagaan negara dan undang-undang kerajaan negeri, seterusnya diterima oleh pihak kerajaan sebagai badan berautoriti.

“Pihak yang berjaya mendirikan kerajaan selepas PRU-15 wajib memastikan 14 resolusi yang telah dibentang dan diputuskan pada hari ini menjadi pancang-pancang utama yang perlu diperkasa serta dilaksanakan dalam polisi dan dasar kerajaan yang baharu,” kata UMMAH lagi.

(Visited 116 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Back to top button