fbpx
Uncategorized

Umat Islam perlu terima sekatan, kawal nafsu – Dr Mahathir

BEKAS perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengajak semua umat Islam di negara ini agar menerima baik pelbagai sekatan yang terpaksa dilalui dalam suasana mereka melaksanakan ibadah puasa kali ini.

Dr Mahathir berkata sekatan yang terpaksa dilakukan untuk membendung penularan jangkitan COVID-19 itu sudah tentu mengubah banyak tradisi sambutan Ramadan sebelum ini di negara ini.

Namun, ia tidak akan menjadi beban sekiranya umat Islam mengamalkan sikap kesederhanaan dan dapat mengekang hawa nafsu.

“Antara yang terpaksa kita hentikan ialah majlis berbuka puasa beramai-ramai dan sembahyang tarawih secara berjemaah. Kita juga tidak dapat membeli juadah yang enak di bazar-bazar Ramadan.

“Selain itu, pergerakan kita untuk melawat dan berbuka puasa dengan seanak-saudara juga turut terjejas.


“Dalam lain perkataan, Ramadan kali ini menuntut kesabaran dan kekangan nafsu dari kita yang jauh lebih berat berbanding dahulu. Sama ada kita sedar atau tidak, cabaran  yang kita hadapi dalam bulan Ramadan kali ini sebenarnya menguji tahap kesungguhan kita untuk kita mempertahankan rakyat dan negara,” katanya menerusi catatan Facebook.

“Ini kerana jika kita tidak dapat membendung nafsu dan masih mahu menjalankan ibadah puasa seperti tahun-tahun yang lalu, kita akan memperjudikan kehidupan rakyat yang lain termasuk diri kita sendiri,” tambahnya.

Menurut Dr Mahathir pengorbanan yang perlu dilakukan oleh umat Islam dengan mematuhi pelbagai sekatan berkenaan adalah jauh lebih kecil berbanding pengorbanan mereka yang berada di barisan hadapan untuk mempertahankan semua rakyat Malaysia.

Katanya jika umat Islam meredai semua perkara yang berlaku, insya Allah mereka akan dapat menjalani ibadah puasa ini dengan sempurna seterusnya dapat menyambut syawal dengan penuh kesedaran dan kesyukuran.- BERNAMA

Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button