Politik

Ulangtahun ke-5 penubuhan, Bersatu usaha perpaduan politik Melayu

GENAP lima tahun penubuhannya hari ini, Bersatu mahu perpaduan politik Melayu dan Bumiputera terus diusahakan walaupun ramai yang mahu merosakkannya.

Ketua Penerangan Bersatu Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, perpaduan politik Melayu penting kerana ia adalah penentu kepada kestabilan negara.

“Kestabilan itu akan membawa kemakmuran kepada semua rakyat tanpa mengira kaum dan agama. Jajaran baru yang mengubah identiti teras negara kita adalah tidak sesuai.

“Kejelasan visi dan matlamat, berbekal semangat yang kental, inilah yang menyebabkan parti ini akan terus subur dalam politik negara,” kata Wan Saiful

Beliau yang juga Ahli Majlis Tertinggi Bersatu berkata, agenda perpaduan Melayu bukan mengenai politik perkauman sempit.


Sebaliknya agenda perpaduan Melayu adalah untuk membawa kemakmuran kepada seluruh rakyat yang berbilang bangsa.

“Malahan keahlian kita sejak awal penubuhan memang terbuka untuk semua. Bersatu pasti dan mesti terus maju. Ini adalah parti yang dibina atas agenda yang jelas, yang ada perbezaan daripada parti-parti lain.

“Ia parti Melayu yang dibina oleh pemimpin-pemimpin yang sanggup hilang segalanya demi menegakkan integriti dan tadbir urus yang baik,” kata Wan Saiful.

Tambah beliau, Bersatu mempunyai ramai penggerak politik lapisan baru yang berbagai kategori umur termasuk yang berumur senior.

Kesemua pemimpin lapisan dalam Bersatu tidak mempunyai bebanan politik kepada parti.

“Yang berumur “senior” pun masih saya gelar lapisan baru jika sejarah politik mereka masih hijau dan segar. Yang penting, mereka tiada “political baggage”.

“Yang membawa huru hara kepada negara semuanya lapisan lama yang ada kepentingan. Lapisan baru bukan penyebab masalah, malahan mereka senak melihat ahli politik bermasalah yang sengaja menimbulkan lebih banyak masalah,” kata Wan Saiful.

Sementara itu Wan Saiful berkata, Bersatu akan meraikan ulangtahun ke-5 penubuhan pada Jumaat ini.

Menurut beliau, untuk Bersatu bergerak ke hadapan, parti itu mesti lebih berani dari pelbagai sudut termasuk memberi ruang kepada lapisan baru.

Bersatu juga perlu berani perbanyak perbahasan mengenai dasar pentadbiran negara agar parti yang menentukan agenda pentadbiran.

Parti itu juga perlu berani memberi kepercayaan kepada lebih ramai muka baru dan jangan benarkan budaya hanya percaya “orang keliling” menjadi barah.

“Mesti berani beri empowerment kepada jentera parti akar umbi. Mereka adalah penggerak sebenar, penentu hidup mati parti.

“Mesti berani semaikan budaya pentadbiran profesional yang lengkap dengan performance appraisal secara berkala agar pentadbiran parti tidak dimandulkan oleh politik dalaman.

“Mesti berani segerakan kaderisasi generasi pelapis. Biar parti ini penuh dengan persaingan sihat antara tokoh-tokoh yang berpotensi,” katanya.

Wan Saiful berkata, Bersatu mesti tunjukkan perbezaan dengan parti-parti lain dan niat setiap ahli mesti diikhlaskan.-SM

 

(Visited 65 times, 1 visits today)

Show More

KHAIRULANUAR YAHAYA

Khairulanuar mempunyai pengalaman sebagai wartawan di Karangkraf, Bernama TV dan terakhir di Utusan Malaysia. Pernah membuat liputan kemanusiaan di Gaza, Pakistan, Jepun, Somalia, Lubnan dan Syria. 'Kehilangan' jurukamera, Noramfaizul ketika sama-sama bertugas di Somalia sesuatu yang tidak pernah beliau lupakan.

Related Articles

Back to top button