Rencana

2020: Tiga kali Agong selamatkan rakyat dari kecurangan politik

HARI ini sekali lagi rakyat Malaysia menarik nafas lega selepas Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, bertitah tiada keperluan untuk mengisytiharkan darurat buat masa ini.

Ini kali ketiga dalam tahun ini rakyat melihat Al-Sultan Abdullah menggunakan kebijaksanaan baginda menyelamatkan rakyat dan negara berpunca dari kemelut politik.

Ramai masih ingat kali pertama tahun ini negara diserang ‘taufan’ politik yang amat dahsyat pada 24 Februari apabila Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin dan bekas Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Azmin Ali membawa keluar ahli Parlimen dari Kerajaan Pakatan Harapan.

Susulan itu Tun Dr. Mahathir Mohamad meletak jawatan sebagai perdana menteri pada hari yang sama.

Seluruh negara kecoh. Covid-19 sedang mula merebak. Namun negara tidak mempunyai perdana menteri dan kerajaan.

Pakatan Harapan memujuk Dr. Mahathir menarik balik keputusan, Dr. Mahatir tidak mahu. Kumpulan UMNO, Pas, Bersatu dan Azmin mendakwa mereka mempunyai majoriti dan mahu menubuhkan kerajaan. Rakyat resah.

Hanya Al-Sultan Abdullah dan Raja-raja Melayu menjadi tempat rakyat meminta perlindungan daripada taufan politik yang tiba-tiba melanda.

Semua tahu kesudahan episod ini. Bukan mudah untuk meleraikannya. Namun Al-Sultan Abdullah dengan kebijaksanaannya melentur ego dan hawa nafsu ahli-ahli politik.

Rakyat terselamat. Negara kembali aman dengan tertubuhnya Kerajaan Perikatan Nasional dan pelantikan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri ke-8.

Kali kedua negara dilanda badai politik pada 23 September lalu. Kali ini Anwar mendakwa ada majoriti kukuh sokongan Ahli Parlimen untuk mengambilalih kerajaan daripada Muhyiddin.

Lebih dua minggu negara kecoh. Ahli politik saling tuduh menuduh si anu, si anu mengkhianat, si anu sokong Anwar ketika negara di tengah-tengah permulaan gelombang ketiga jangkitan Covid-19.

Sekali lagi Al-Sultan Abdullah menggunakan kebijaksanaannya merendam ego sebilangan ahli politik yang seolah-olah mabuk inginkan kuasa.

Anwar dipanggil ke Istana Negara selepas Yang di-Pertuan Agong selesai menjalani rawatan di Institut Jantung Negara. Pada Anwar, Agong bertanya adakah benar beliau mempunyai majoriti.

“Dalam sesi yang berlangsung selama lebih kurang 25 minit ini, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengemukakan jumlah ahli-ahli Dewan Rakyat yang didakwa memberi sokongan kepada beliau.

“Bagaimanapun, beliau tidak mengemukakan senarai nama ahli-ahli Dewan Rakyat untuk mengukuhkan dakwaan tersebut.

“Sehubungan dengan itu, Al-Sultan Abdullah telah menasihati Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk akur dan menghormati proses-proses perundangan seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan,” demikian kata Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin.

Hari ini, Al-Sultan Abdullah sekali lagi mengunakan kebijaksanaannya apabila negara mahu diisytihar darurat, yang mengemparkan negara sejak Jumaat lalu, selepas Mesyuarat Jemaah Menteri.

Al-Sultan Abdullah telah menjemput Raja-raja Melayu yang lain untuk berbincang permohonan tersebut di Istana Negara.

“Al-Sultan Abdullah berpendapat tiada keperluan buat masa ini untuk Seri Paduka Baginda mengisytiharkan darurat di negara ini atau mana-mana bahagian negara Malaysia,” kata Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin sebaik mesyuarat khas Raja-Raja Melayu selesai.

Agong mengingatkan ahli politik berhenti berpolitik bagi mengelakkan kestabilan negara terjejas.

“Sultan Abdullah turut berpendapat tiada perlunya ahli-ahli Parlimen meneruskan tindakan tidak bertanggungjawab yang boleh mengganggu gugat kestabilan Kerajaan sedia ada.”

Tiga kali sudah Yang di-Pertuan Agong menyelamatkan rakyat dan negara tahun ini. Gara-gara keinginan yang keterlaluan pihak yang mahu menjadi Kerajaan dan Perdana Menteri.

Adakah ini kali terakhir pergelutan ahli politik? Atau masih ada lagi episod-episod lain menanti?

Namun rakyat sudah bersedia, kerana mereka tahu Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu sentiasa ada disisi untuk menjadi penyelamat dari kecurangan ahli politik.-SM

 

(Visited 945 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button