Bola SepakSukan

Messi dimaklum Koeman, dia tidak lagi dilayan istimewa

LIONEL Messi membuat keputusan untuk mengemukakan permohonan berpindah selepas dia dimaklumkan bahawa ‘hak istimewanya’ di dalam skuad telahpun berakhir oleh bos baharu Barcelona, Ronald Koeman.
Pemain berusia 33 tahun itu mula mempertimbangkan masa depannya di Nou Camp selepas musim yang diakhiri tanpa trofi berkesudahan dengan kekalahan memalukan 8-2 di tangan Bayern Munich dalam aksi Liga Juara-Juara, yang turut mendorong kepada pemecatan jurulatih, Quique Setién.
Tanpa menunggu lama, Koeman kemudiannya dilantik sebagai pengganti Setién, selepas Messi yang memendekkan percutiannya dilaporkan memberitahu warga Belanda itu bahawa dia melihat dirinya lebih condong kepada meninggalkan kelab berbanding kekal bersama Barca.
Akhbar Argentina, Diario Olé mendakwa, pada pertemuan tersebut Koeman telah memberitahu Messi: “Hak istimewa anda di dalam skuad telah berakhir, anda perlu melakukan apa sahaja untuk pasukan. Saya tidak akan berkompromi, anda perlu memikirkan tentang pasukan.”
Sikap berterus terang Koeman itu, sudah cukup meyakinkan Messi bahawa sudah tiba masanya dia meninggalkan kelab itu.
Perkhabaran tersebut telah meningkatkan tekanan ke atas Presiden Barcelona, Josep Maria Bartomeu.
Para peminat kedengaran telah menjerit ‘Bartomeu perlu letak jawatan!’ di luar ibu pejabat kelab, tetapi presiden, pada malam Selasa menegaskan dia tidak akan sesekali menimbangkan untuk meletakkan jawatannya.
Messi telah berhubung dengan Barcelona menerusi faks pada Selasa dengan menyatakan bahawa dia mahu meninggalkan kelab itu menerusi perpindahan secara percuma pada musim panas ini.
Perkembangan luar biasa tersebut berpotensi menjadikan pemain berusia 33 tahun itu merealisasikan perpindahan dramatik ke Manchester City dan pertemuan semula dengan Pep Guardiola.
Manchester United, PSG, Inter Milan dan Juventus turut menunjukkan minat bagi mendapatkan khidmat pemain itu.
Wartawan Argentina yang mempunyai hubungan rapat dengan pemain itu, Veronica Brunati membongkar kisah tersebut pada Selasa dan kemudian disahkan oleh sumber yang rapat dengan kelab Catalan.
Keputusan berani Messi itu telah mendapat pujian daripada Carles Puyol menerusi kicauan di Twitter: “Hormat dan kagum dengan Leo. Saya menyokong anda, amigo.”
Kenyataan Puyol menerusi Twitter itu turut meraih sokongan daripada Luis Suarez.
Rasa tidak puas hati Messi bukanlah satu isu baru, dan tidak mustahil pemain itu bakal meninggalkan Barca menerusi perpindahan secara percuma.
Messi dikatakan percaya klausa di dalam kontraknya membenarkan dia meninggalkan kelab secara percuma masih lagi sah kerana musim berakhir pada Ogos dan bukannya Mei kerana pandemik coronavirus.
Barcelona pula berkata, tarikh akhir Messi meninggalkan kelab itu secara percuma ialah pada Jun dan akan mempertikaikan hujah pemain berkenaan bahawa tarikh akhir telah berubah kerana musim terpaksa disusun semula selepas perintah kawalan berkurung.
Messi sepatutnya melaporkan diri untuk musim baru pada Ahad ini untuk ujian coronavirus, tetapi pemain berkenaan nampaknya tidak berniat untuk bertemu dengan jurulatih baharu, Ronald Koeman ataupun menghadiri sesi latihan pertama, Isnin ini. – Daily Mail UK – SM

(Visited 47 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button