Nasionalpilihan

Ross Ariffin perlukan sebuah piano terpakai

Komposer serta penerbit terkenal Ross Ariffin atau nama sebenarnya Roslan Ariffin, 62, merayu sumbangan orang ramai atau mana-mana pihaknya untuknya membeli sebuah piano terpakai.

Dia yang kini menjalani kehidupan di Rumah Warga Emas Taman Bukit Larang Indah, Telok Mas di sini bertekad ingin kembali mencipta lagu yang pernah memuncakkan namanya di persada hiburan negara sebelum ini.

Lebih penting menurut komposer yang pernah menghasilkan 64 lagu buat beberapa artis tersohor negara seperti Datuk Seri Siti Nurhaliza, Fauziah Latiff, Ning Baizura, Jaclyn Victor dan Liza Aziz, muzik mampu merawat kesihatan dirinya.

“Memang saya perlukan sebuah piano kalau dapat yang terpakai pun boleh untuk saya mengisi masa lapang dengan bermain muzik dan mengembalikan sentuhan saya.

“Walaupun kesihatan saya tidak berada mengizinkan kerana pernah diserang strok sebanyak dua kali, saya patah tangan kerana kemalangan dan ingatan saya pula semakin berkurangan.

“Namun semangat saya sangat kuat untuk pulih dan terapi melalui muzik adalah salah satu cara untuk merangsang ingatan pulih dan menyembuhkan,” ujarnya ketika ditemui di sini semalam.

Ross pernah melanjutkan pelajaran dalam bidang muzik di Kolej Muzik Redbridge, London, United Kingdom (UK) pada usia 12 tahun serta menjadi pemain piano profesional di sebuah kapal persiaran mewah selama tujuh tahun.

Ross berkata, dia pernah terbaca satu rencana seorang tokoh ilmuan Tamadun Islam, Ibnu Sina yang mengatakan salah satu kaedah paling efektif dalam merawat penyakit adalah dengan memperdengarkan muzik kepada pesakit.

“Saya ada juga terbaca sebuah artikel terdapat golongan profesional sudah menggunakan mekanisme terapi muzik untuk membantu mereka yang menghidap penyakit seperti Parkinson, strok, gangguan mental dan sebagainya,” ujarnya.

Justeru katanya, dia ingin mencuba terapi muzik untuk sekurang- kurangnya memulihkan tahap kesihatan dirinya.

Ujarnya, sementara hayatnya masih ada dia begitu bersemangat untuk meneruskan kerjaya dalam penciptaan lagu yang pernah melonjakkan namanya serta meraih beberapa gelaran.

Antara kejayaan yang pernah diraih Ross adalah melalui lagu Semalam Ku Tolak Ke Tepi nyanyian Liza Aziz yang memenangi Festival Lagu Dunia Golden Kite, Kesatuan Penyiaran Asia (ABU) dan Anugerah Industri Muzik (AIM) untuk Album Pop Terbaik milik penyanyi Aishah.

Katanya, dia bercita-cita untuk merakamkan semula lagu cipataannya Meniti Senja yang pernah dinyanyikan bekas penyanyi Heavy Machine, Aan – SM

 

(Visited 84 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button