Politik

UiTM sila berhenti tindas pengamal akademik

TERKEJUT membaca artikel meminta seorang pensyarah Univesiti Teknologi Mara (UiTM) berundur hanya kerana dikatakan membuat lawatan ke ibu pejabat sebuah parti politik pembangkang, Pergerakan Wira PUTRA  Malaysia berpandangan, ini adalah antara punca mengapa kualiti pensyarah dan mahasiswa menjadi terhad.

Pergerakan Wira PUTRA, Nasrul Ali Hasan Abdul Latif berkata, sikap sedemikian juga mengongkong pensyarah dan mahasiswa kerana tiada kebebasan akademik dan mengasah minda supaya menjadi kritikal dan berani.

Beliau berkata, sewajarnya golongan ini diberikan kelonggaran bagi memastikan kebenaran dan kualiti pendidikan tinggi negara menjurus ke arah melahirkan pemimpin dan rakyat yang berintegriti.

“Mahasiswa bakal menjadi pemimpin masa depan rakyat dan negara. Cuba lihat sejarah Institut Teknologi Mara (ITM) di awal tahun 1970an sehingga 1975.

“Graduan pada ketika itu cukup hebat dan ramai yang berjaya dalam pelbagai bidang,” katanya sambil memberi beberapa contoh, Tan Sri Prof. Ibrahim Abu Shah, Tan Sri Prof. Ir. Dr. Sahul Hamid, Tan Sri Salleh Sulong, Tan Sri Hamad Kamal Piah, Dato Zain Mohamad dan Dato Zaid Ibrahim yang berjaya menjadi pemimpin tersohor dalam segenap industri.

Nasrul Ali Hasan juga berkata, di zaman Presiden Putra, Dato Paduka Dr. Ibrahim Ali menjadi Presiden Kesatuan Siswa ITM (KSITM), Speaker Corner diizinkan malah tunjuk perasaan juga tidak sunyi dengan pelbagai isu rakyat.

Katanya, tidak ada tapisan di mana kesatuan siswa bebas menjemput sesiapa saja ke kampus untuk menghadiri forum dan berpidato.

“Inilah contoh sikap keterbukaan Tun Arshad Ayub yang menjadi Pengarah ketika itu namun selepas tahun 1975, Tun Arshad Ayub dipindahkan dan seorang pengarah baharu dilantik, akta dipinda dan mahasiswa mula di kongkong.

“Maka lahirlah ramai siswazah yang bersifat “inferior complex” atau rendah diri, kaku dan minda sehala,” katanya sambil menambah, UiTM sepatutnya melahirkan siswazah berjati diri, cekal, berani selain berilmu demi kelangsungan dalam memperkasa jiwa patriotisma anak bangsa

Beliau juga berkata, sebagai contoh, rakyat Malaysia sebelum ini ramai yang membuat lawatan ke negara China yang seluruh dunia tahu, mengamal sistem komunisme dan ada yang bertemu pemimpin parti dan mereka ini, tidak pula pulang ke Malaysia menjadi komunis.

Perdana Menteri Malaysia sebelum ini juga jalin hubungan dan berpeluk dengan Perdana Menteri China dalam lawatannya, adakah beliau sudah jadi komunis hanya dengan satu lawatan?, soal Nasrul Ali Hasan.

Begitu juga pemimpin politik Melayu yang sebelum ini dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) bersama DAP, PAS pernah bersama DAP, Bersatu pernah bersama DAP dan terbaru ura-ura UMNO juga ada nak jalin hubungan dengan DAP, ujar beliau.

“Adakah ini bermaksud mereka juga sudah jadi komunis? Tak salahkah perbuatan pemimpin-pemimpin Melayu tersebut?

“Cuma salahnya ada yang bersikap hipokrit dan mengamal matlamat menghalalkan cara. Mereka banyak yang berpura-pura tetapi apabila pensyarah dan mahasiswa, macam-macam tindakan dan halangan dilakukan terhadap kelompok ini.

“Inilah yang membuat golongan muda meluap-luap dengan sifat sifat hipokrit pemimpin. Jangan hal sedemikian mengehadkan pensyarah dan mahasiswa untuk berkarya dan berinovasi.

“Cuma mereka ini perlu ada ketegasan dan bijak untuk kekal bebas dan tidak ada sikap memihak atau berat sebelah dalam membuat penyelidikan,” kata Nasrul Ali Hasan.

Beliau berpendapat, perkara pokok adalah niat lawatan dan menggesa UiTM bukan sahaja memberi penjelasan tentang khabar yang tular tetapi juga menghormati kebebasan akademik, mahasiswa dan hak kebebasan rakyat yang dijamin dalam Perlembagaan Negara. – SM

(Visited 380 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button