Sukan

Garuda tidak gentar kebanjiran penyokong skuad Harimau Malaya

KEBANJIRAN penyokong skuad Harimau Malaya pada aksi berdepan Indonesia di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam esok, bagi perlawanan pusingan kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023, jelas tidak menggentarkan pengendali sementara Indonesia, Yeyen Tumena.

Bekas pemain kebangsaan Indonesia itu yang mengambil alih sementara tugas Simon McMenemy yang dipecat Persatuan Sepak Bola Sepak Seluruh Indonesia (PSSI) baru-baru ini, sebaliknya yakin, pemain skuad Garuda mampu beraksi baik di sebalik tekanan yang bakal mereka hadapi.

Tumena mendedahkan walaupun pengendali kelahiran Scotland itu tidak lagi bersama skuad Garuda, McMenemy turut berkongsi beberapa input berguna pada sesi latihan pasukan berkenaan.

“Dengan keadaan stadium akan penuh, dan berdepan pasukan tuan rumah, saya fikir ini adalah hal positif, kerana di Indonesia kami juga beraksi di hadapan penonton yang cukup banyak. Bukan hanya di peringkat nasional, tetapi di kelab juga, pemain berhadapan situasi yang sama.

“Tekanan yang diberi penyokong Malaysia menambah semangat (pemain) kami,” katanya pada sidang media pra-perlawanan berkenaan di venue berkenaan, hari ini.

Dalam pada itu, Tumena mengakui perubahan dalam pucuk pimpinan PSSI baru-baru ini, selain kehadiran beberapa muka baharu, jelas memberi semangat kepada dirinya, untuk merencana strategi terbaik berdepan Malaysia.

Pada masa yang sama beliau optimis, skuad Garuda mampu bangkit memburu kemenangan sulung setelah diaibkan dengan empat kekalahan pada pusingan kelayakan kali ini.

Untuk rekod, Indonesia tewas 2-3 kepada Malaysia, diaibkan dengan kekalahan 0-3 dan 0-5 kepada Thailand dan Emiriah Arab Bersatu (UAE), sebelum kecundang 1-3 kepada pendahulu Kumpulan G, Vietnam di Hanoi, pada 15 Nov.

“Belum mendapat sebarang mata, ertinya kami harus memperbaiki permainan dan tekanan ada di setiap pertandingan, para perajurit di lapangan setiap hari berhadapan dengan menang atau kalah, apapun tekanan itu tetap kami hadapi dengan keadaan yang sama,” tegas Tumena.

Nada sama turut disuarakan pemain pertahanan Indonesia, Yanto Basna yang mengintai peluang untuk meraih kemenangan ke atas Malaysia, walaupun sedar mereka berdepan misi sukar untuk menewaskan skuad kebangsaan yang melakar keputusan positif dalam beberapa perlawanan sebelum ini.

Pemain pertahanan kelab Liga Perdana Thailand, Sukhothai FC itu menjelaskan, motivasi pemain skuad Garuda cukup tinggi untuk menghadapi Malaysia memandangkan mereka tiba di tanah air sejak 12 Nov lalu bagi membuat persiapan awal untuk perlawanan berkenaan.– BERNAMA

(Visited 52 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button