Jenayah

Covid-19: Kes jenayah dalam negara menurun

DAKWAAN kes jenayah di Malaysia meningkat kerana ramai yang kehilangan pekerjaan akibat kesan daripada pandemik Covid-19 tidak berasas kerana statistik menunjukkan penurunan kes sebanyak 23 peratus bagi tempoh 1 Januari sehingga 15 November tahun ini.

Kes jenayah negara menurun sebanyak 16,719 berbanding 72,832 kes dalam tempoh sama tahun lepas.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Datuk Huzir Mohamed dalam satu kenyataannya hari ini berkata, ini sekali gus menafikan dakwaan kes jenayah di Malaysia menunjukkan peningkatan disebabkan ramai yang kehilangan pekerjaan akibat pandemik Covid-19.

“PDRM mengambil maklum tentang wujudnya kerisauan dalam kalangan masyarakat mengenai kemungkinan berlakunya peningkatan kes jenayah.

“Ini kerana kesan daripada pandemik ini dengan ramai kehilangan pekerjaan. Masyarakat menjadi gusar apabila wujud berita mengenai trend jenayah ragut di negara ini yang turut tular di media sosial,” katanya.

Bagi jenayah ragut, sebanyak 1,160 kes dilaporkan dalam tempoh 1 Januari hingga 15 November tahun ini berbanding tempoh yang sama tahun 2019 iaitu 2,216 kes dan ini menunjukkan penurunan sebanyak 1,056 kes atau 47.7 (nte: 47.65) peratus.

“Seramai 893 suspek telah berjaya ditangkap kerana terlibat dalam jenayah ragut sepanjang tempoh 1 Jan sehingga 15 Nov tahun lepas berbanding 527 suspek dalam tempoh sama tahun ini,” katanya dalam kenyataan itu lagi.

Huzir berkata, walaupun statistik menunjukkan penurunan kes, PDRM akan sentiasa memastikan trend jenayah terus menurun dengan mengambil tindakan yang lebih komprehensif demi memastikan keselamatan dan ketenteraman awam terus terpelihara.

Dalam pada itu, orang ramai turut dinasihatkan supaya tidak sewenang-wenangnya membuat, berkongsi atau menularkan sebarang berita atau gambaran salah dan tidak tepat berkenaan trend jenayah atau kes-kes jenayah yang tidak disokong dengan fakta yang sahih daripada pihak berkuasa.

Tindakan sedemikian bukan sahaja boleh membangkitkan kegusaran masyarakat malah mampu menimbulkan persepsi yang salah terhadap badan penguat kuasa khususnya PDRM, katanya. – SM

(Visited 118 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button