Berita

UGO Travel sambut baik cadangan sediakan jaminan bank jemaah umrah

KUALA LUMPUR – UGO Travel and Tours Sdn Bhd (UGO Travel) menyambut baik cadangan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) untuk mewajibkan syarikat pengendali umrah tempatan menyediakan jaminan bank sekurang-kurangnya RM250,000 bagi melindungi kepentingan jemaah.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan UGO Travel, Mohamad Minhat, berkata langkah berkenaan akan memastikan kebajikan jemaah terjamin dan syarikat umrah lebih telus dalam operasi mereka.

“Jemaah tidak lagi perlu bimbang tentang mendapatkan kembali wang mereka sekiranya syarikat pengendali umrah gagal menunaikan janji untuk menerbangkan pelanggan mereka ke tanah suci,” kata beliau, dalam kenyataannya hari ini.

Mohamad berkata langkah ini juga mampu meningkatkan kebolehpercayaan orang ramai terhadap syarikat-syarikat pengendali umrah yang benar-benar jujur dalam mengurus operasi mereka.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas usaha MOTAC yang mahu mewajibkan penyediaan jaminan bank mengikut saiz operasi syarikat pengendali umrah berikutan kejadian terbaharu jemaah umrah ditipu.

MOTAC, dalam kenyataannya baru-baru ini kecewa kerana masih terdapat syarikat pengendali umrah yang tidak bertanggungjawab dan berharap langkah terbaharu ini dapat dimuktamadkan dan dikuatkuasakan secepat mungkin.

“Walaupun tindakan telah diambil terhadap pengendali yang gagal mematuhi undang-undang sebelum ini, namun masih ada syarikat yang terus mengabaikan tanggungjawab mereka,” katanya.

Menurut MOTAC, pengenaan jaminan bank bagi syarikat-syarikat pengendali sememangnya termaktub dalam Peraturan-peraturan Industri Pelancongan di bawah Akta Industri Pelancongan 1992 (Akta 482).

Justeru, jaminan bank itu bertujuan untuk memastikan perkhidmatan berkualiti dan kebajikan jemaah sentiasa terpelihara.

MOTAC turut menambah bahawa pihaknya tidak teragak-agak untuk membatalkan lesen mereka serta-merta tanpa kompromi sekiranya terdapat syarikat yang tidak dapat memenuhi keperluan berkenaan.

“Kementerian tiada pilihan selain bertindak tegas bagi melindungi hak dan kepentingan jemaah umrah. Kepercayaan rakyat terhadap industri umrah harus dipulihkan, dan pengendali yang cuai atau tidak bertanggungjawab tidak akan diberi ruang untuk terus beroperasi,” katanya.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button