Ekonomi

Pengusaha bas rayu jangan naikkan harga diesel

“Tolong jangan naikkan harga minyak diesel lagi,” rayu pengusaha bas ekspres di Semenanjung Malaysia kepada kerajaan hari ini.

Itu antara keluhan Datuk Abu Hasan Awang, seorang pengusaha bas syarikat Cosmic Express dan juga ahli jawatankuasa (AJK) Persatuan Pengusaha Bas Ekspres Melayu Semenanjung Malaysia (PEMBAWA) akan kenaikan harga diesel sejak kebelakangan ini dan bilangan penumpang yang dihadkan.

Beliau berkata mengikut prosedur operasi standard (SOP) kerana COVID-19, bas-bas ekspres hanya dibenarkan mengambil 50 peratus daripada jumlah penumpang, yang bermakna jika bas itu ada 34 tempat duduk hanya 17 penumpang sahaja dibenarkan naik.

“Sebelum ini, harga diesel cuma RM1.40 seliter kami berasa lega sedikit, tetapi semakin perintah kawalan ini dilonggarkan harga diesel pun semakin naik dan kini RM1.63 seliter.

“Jadi macam mana pengusaha nak tanggung kos perjalanan dengan hanya membawa separuh penumpang? Kami minta harga diesel itu tolonglah jangan naik,” katanya kepada Bernama ketika dihubungi, hari ini.

Related Articles

Sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac lepas, beliau hanya mampu membayar gaji pemandu-pemandu basnya selama tiga bulan sahaja.

“Kita ada minta bantuan daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), permohonannya lulus tetapi sampai sekarang duit itu masih belum diterima, jadi macam mana?” katanya.

Dalam pada itu, beliau meminta kerajaan untuk mengkaji semula SOP terhadap pengangkutan awam seperti bas ekspres sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) ini.

Tambahnya, kerajaan perlu memberi sedikit penghargaan kepada pengangkutan awam seperti bas kerana turut menyumbang kepada ekonomi negara. – BERNAMA

(Visited 423 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.
Back to top button