Nasionalpilihan

Ucapan terima kasih Sulaiman buat rakyat Melaka

Datuk Seri Sulaiman Md. Ali, merakamkan ucapan terima kasih kepada rakyat Melaka sepanjang beliau menjawat jawatan Ketua Menteri ke-12 bermula 9 Mac 2020 yang lalu hingga hari ini.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lendu itu hari ini, bakal menjadi hari terakhir untuknya memegang amanah mengetuai dan memimpin pentadbiran Kerajaan Negeri Melaka.

“Di kesempatan ini, saya ingin menzahirkan penghargaan dan setinggi-tinggi ucapan terima kasih kepada rakyat Melaka yang dikasihi, atas segala sokongan, dokongan, pandangan, cadangan mahupun kritikan yang diberikan sepanjang saya melaksanakan amanah sebagai Ketua Menteri.

“Hari ini sempena sayyidul ayyam, adalah hari terakhir saya memegang amanah mengetuai dan memimpin pentadbiran kerajaan negeri sebagai Ketua Menteri Melaka Ke-12 bermula dari 9 Mac 2020.

“Sempena bulan puasa, Ramadan Al Mubarak ini, saya dan keluarga juga menyusun sepuluh jari memohon kemaafan dan keampunan daripada rakyat Melaka yang dikasihi atas segala kelemahan, kesilapan, kesalahan dan kekhilafan sepanjang saya memegang amanah tersebut,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook rasminya hari ini.

Sulaiman turut menyeru rakyat negeri ini untuk terus memberi sokongan dan kerjasama yang terbaik kepada kepemimpinan kerajaan negeri yang baharu, sama seperti diterima beliau selama ini.

Katanya, kerjasama yang baik sama seperti yang telah diberikan kepadanya sebelum ini perlu diteruskan demi Negeri Melaka tercinta.

“Akhirul kalam, saya dan keluarga mendoakan agar seluruh rakyat dan negeri Melaka yang dicintai terus diberikan keselamatan, keamanan dan kemajuan sebagai sebuah negeri Baldatun Toiyibatun Warabbun Ghafur,” ujarnya. – SM

(Visited 127 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button