Nasional

Tiong sengaja mahu kaburi tindakannya ganggu penjawat awam

Kenyataan dibuat Tiong King Sing semalam mendakwa berlaku budaya rasuah di pintu masuk negara didakwa bertujuan mengalih tumpuan, bagi mengaburi tindakannya mengganggu tugas penjawat awam.

Kesatuan Perkhidmatan Imigresen Semenanjung Malaysia (KPISM) berkata, bukan sahaja dakwaan dibuat “tidak berasas”, malah sebagai menteri pelancongan, seni dan budaya, beliau tidak sepatutnya mengganggu tugas penjawat awam.

Presidennya, Khairil Niza Khairuddin, yakin pegawai imigresen bertugas mengetahui lebih jelas berhubung “situasi sebenar” yang berlaku.

Katanya, jika benar dakwaan bahawa pegawai imigresen di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) terbabit dengan rasuah, ianya perlu dilaporkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Ianya bukan dengan membuat kenyataan media yang boleh dianggap tidak berasas kerana tiada bukti serta hanya bertujuan sebagai ‘diversion’ atau mengalihkan tumpuan dari isu utama.

“Sebagai seorang orang kenamaan, beliau seharusnya lebih menghormati undang-undang negara dan tidak mengganggu penjawat awam menjalankan tugas mereka.

“Dalam hal ini, pegawai JIM yang bertugas ketika itu sudah semestinya mengetahui dengan lebih jelas mengenai apa yang berlaku dan mengambil tindakan berdasarkan peraturan semasa yang sedang berkuatkuasa,” katanya menurut Harian Metro.

Beliau berkata, KPISM bertegas tiada mana-mana pihak seharusnya terbabit dan mengganggu tugas penguatkuasaan dan pelaksanaan undang-undang oleh imigresen dan mana-mana pihak berkuasa di negara ini.

“KPISM tidak akan teragak-agak untuk membuat laporan polis jika perkara sama seperti ini berlaku. Kita juga bersetuju dengan tindakan pihak imigresen yang mengambil tindakan serta merta memulakan siasatan berkenaan isu berkenaan,” katanya.

Semalam, Tiong berkata “peristiwa yang memalukan negara” telah terbongkar, susulan laporan mengenai kekecohan di KLIA membabitkan warga China ditahan di balai ketibaan.

Beliau mendakwa wujudnya budaya rasuah dilakukan segelintir pegawai dan penyalahgunaan kuasa yang “kronik” di pintu masuk negara.

Katanya, semua maklumat berkaitan akan diserahkan kepada SPRM.

(Visited 436 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button