Nasionalpilihan

Jambatan Bailey kini boleh dilalui 5,000 penduduk

Kira-kira 5,000 penduduk di Kampung Stulang Daeng dan Kampung Pulau Gadong kini mampu menarik nafas lega apabila jambatan Bailey kini sudah dibuka untuk laluan
semula selepas jambatan lama runtuh pada 22 September lalu.

Sejak jambatan lama runtuh jalan perhubungan antara kedua-dua kampung terputus selama hampir dua bulan.

Jambatan Bailey kini dibuka secara rasmi kepada penduduk dan orang ramai itu dibina dalam tempoh tiga hari hasil usaha Jabatan Kerja Raya (JKR) Melaka.

Ketua Menteri Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh berkata, beliau memuji kejayaan JKR Melaka memasang jambatan itu dalam tempoh tiga hari dengan kerjasama daripada JKR Selangor, Pahang dan Negeri Sembilan tanpa perlu memohon bantuan dan kepakaran daripada Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

“Jambatan Bailey biasanya dipasang dengan kerjasama ATM dan tetapi kali ini kerjasama daripada JKR negeri lain berjaya menyiapkan jambatan ini mula dibina pada 14 hingga 16 November.

“Saya nak ucap terima kasih kepada JKR Melaka yang menjalin kerjasama bersama JKR Temerloh, Pahang; Petaling Jaya, Selangor dan Kuala Pilah, Negeri Sembilan untuk
menyiapkannya dalam tempoh yang singkat.

“Siapnya jambatan ini walaupun sementara tetapi ia melegakan kira-kira 5,000 penduduk di dua kampung kembali menjalankan kehidupan seperti biasa,” katanya
kepada pemberita pada Majlis Perasmian Pembukaan Jambatan ‘Bailey’ Kampung Setulang Daeng-Pulau Gadong, di sini, hari ini.

Hadir sama, Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk  Ibrahim Durum; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Zaidi Johari; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan
Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin; Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri, Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer.

Mengulas lanjut, Ab Rauf berkata, jambatan itu adalah buat sementara waktu dalam tempoh dua tahun digunakan penduduk sementara menunggu kelulusan peruntukan bagi
membina jambatan baharu.

Tambahnya, jambatan Bailey itu mempunyai dua lorong dan mampu menanggung bebanan sehingga 30 tan.

Jelasnya, namun selepas mengambil kira ia akan bersambung kepada jambatan perhubungan desa sedia ada, maka had bebanan kenderaan yang melaluinya dihadkan
setakat lima tan dan terhad kepada kenderaan ringan. – SM

(Visited 50 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button