Rencana

Kisah Anwar naik berang

SEJAK zaman di universiti Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah idola saya. Gaya kepimpinan dan pidato beliau menambat hati ramai golongan muda khususnya mahasiswa. Ramai juga pemimpin pelajar yang mengikut gaya pidato beliau pada sekitar 90-an.

Saya dapat masuk ke Utusan Malaysia pada 1993 juga kerana ulasan saya tentang Anwar berbunga-bunga indah apabila ketua pengarang ketika itu meminta saya mengulas tentang pemimpin berkenaan semasa sesi temuduga.

Seorang senior di Utusan Malaysia bertanyakan apa yang disoal ketika temuduga dan saya bercerita tentang pandangan saya terhadap Anwar, dia yakin saya dipilih kerana jawapan berkenaan.

Sudah pasti apabila ditanya mengenai idola kita, mudah untuk dihuraikan bagai air mengalir dengan lancar.

 

CARA ANWAR LAYAN MEDIA

Sebagai wartawan junior memang tidak berpeluang untuk membuat liputan Anwar yang ketika itu sudah menteri kanan dan dengan laju menjadi timbalan perdana menteri selepas dibawa masuk ke dalam UMNO dan kerajaan oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Bagaimanapun tidak lama selepas itu saya ditukarkan ke Biro Pahang dan di sana saya berpeluang meliput Anwar kerana jumlah wartawan yang terhad di biro.

Bagaimanapun kekaguman saya mulai pudar apabila saya membuat liputan Anwar kerana sikap beliau, terutama dalam melayan petugas media, tidak seperti yang saya gambar dan fikirkan sebelum ini.

Dengan lagak pengawal peribadi beliau yang sangat sombong dan kini jadi rakan baik saya, hinggalah cara Anwar melayan wartawan tempatan.

Anwar pada masa itu hanya melayan bos-bos besar media atau media luar negara sahaja.

Anwar belajar daripada kesilapan lalu dan kini beliau melayan media dengan lebih baik. – foto FB Anwar

Wartawan hingusan seperti saya dilayan seperti anjing terkejar-kejar untuk menemubualnya yang sering berjalan pantas. Setelah masuk ke dalam kereta dan para wartawan hampir beredar, tiba-tiba Anwar akan membuka tingkap dan apabila wartawan bergegas dia akan mengucapkan ‘Arigato’ sebelum kenderaannya terus bergerak pantas.

Kalau diikutkan hati rasa malas untuk membuat liputan majlis Anwar kerana sering berlangsung di kawasan yang jauh hingga perjalanan memakan masa sekitar dua jam memandu kereta dari Kuantan.

Tapi apakan daya bos besar Utusan Malaysia ketika itu adalah orang kuat Anwar. Jika engkar arahan, alamat melayanglah kerja.

GERAKAN REFORMASI

Jadi pada tahun 1998 apabila Dr. Mahathir mahu menangkap Anwar, bos-bos besar media dibuang terlebih dahulu kerana ketika itu Anwar mengawal semua media.

Ketika itu saya berfikir betapa untung nasib saya berbanding bos besar yang boleh hilang pekerjaan sekelip mata.

Selepas Anwar dipecat dari UMNO hinggalah dituduh dengan kes liwat, media setiap hari menghentam pemimpin pembangkang itu yang kemudiannya menubuhkan parti PKR atau Parti Keadilan Rakyat.

WARTAWAN DIBERI CAMBUK

Para wartawan yang selama ini dilayan seperti anjing seolah-olah diberi cambuk untuk melibas Anwar sebagai membalas dendam kerana perbuatannya selama ini.

Anwar seorang pejuang memang tidak pernah mengalah, bahkan aura beliau mampu menarik massa untuk berdemonstrasi besar-besaran.

Saya tidak terlibat sangat dalam melibas Anwar kerana sebagai wartawan junior kerja-kerja demikian jarang dilibatkan, cuma sesekali sahaja berita saya diputar belit oleh bos-bos sehingga saya sendiri tidak mengecamnya sebagai berita yang saya tulis.

Bagaimanapun pada sekitar 2010 saya berpeluang melibas cambuk yang telah lama saya simpan, ketika itu saya bertugas sebagai wakil luar negara Utusan Malaysia di Indonesia.

Kisahnya apabila saya dimaklumkan Anwar akan melawat parlimen Indonesia. Anwar memang sering melawat Indonesia kerana beliau mempunyai rakan baik beliau iaitu Amien Rais yang juga pemimpin reformasi pada tahun 1998.

Bezanya Amien Rais berjaya menumbangkan kerajaan Suharto yang memerintah selama 30 tahun, tetapi Anwar gagal menumbangkan kerajaan Dr. Mahathir.

Persamaan kedua-dua pemimpin itu ialah kedua-dua gagal menjadi pemimpin nombor satu negara masing-masing sehingga ke hari ini.

IMEJ ANWAR DI INDONESIA

Anwar sangat dihormati oleh media di Indonesia. Beliau dianggap seorang pejuang sama tahap Aung San Suu Kyi iaitu pemimpin Myanmar atau Burma yang memperjuangkan demokrasi hingga mendapat pengiktirafan dunia.

Berbalik kepada lawatan Anwar ke parlimen Indonesia, ia adalah peluang untuk saya mempersoalkan lawatan itu kerana Anwar selaku ahli parlimen sepatutnya menghadiri persidangan parlimen yang sedang berlangsung di Malaysia.

Jadi ketika sidang akhbar selepas lawatan apabila saya bertanyakan soalan itu, Datuk Seri Azmin Ali ketika itu orang kanan Anwar terbeliak mata seolah-olah mahu menelan saya.

CAMBUK DILIBAS

Anwar yang berang dengan soalan itu terus berpidato bahawa saya sengaja mahu mengenakan beliau kerana saya bekerja dengan media yang dimiliki kerajaan.

Sidang media itu dibubarkan begitu sahaja, sedangkan saya baru orang kedua yang menanyakan soalan.

Jika di Malaysia ketika itu, wartawan Utusan Malaysia tidak dibenarkan membuat liputan apa juga majlis yang melibatkan Anwar. Bagaimanapun di Indonesia perkara itu tidak berlaku.

Indonesia mengamalkan kebebasan media yang mutlak. Jadi ketika saya dikerumuni para wartawan Indonesia saya menjelaskan situasi sebenar di Malaysia dan bagaimana Anwar melayan media, mereka semua kaget (terkejut).

Tidak habis setakat itu saya belum puas melibas cambuk. Kali ini saya menghubungi ketua NGO di Indonesia dikenali sebagai Bendera yang sering mengusir orang Malaysia yang datang ke negara berkenaan.

Sikap anti-Malaysia itu kerana membantah layanan buruk kepada pekerja Indonesia di Malaysia dan juga membabitkan pertikaian sempadan kedua-dua buah negara.

Selain itu ia juga berpunca daripada kemajuan dari segi pembangunan infrastruktur dan ekonomi berbanding Indonesia, sedangkan Malaysia lebih muda atau adik kepada Indonesia.

Saya maklumkan kepada ketua Bendera terdapat orang penting Malaysia menginap dan mengadakan majlis di sebuah hotel, tanpa memaklumkan orang itu adalah Anwar.

Dia mengucapkan terima kasih dan akan menghantar pengikutnya untuk mengadakan demonstrasi dan mengusir orang Malaysia.

Saya pun menunggu di hotel berkenaan bersama kamera untuk merakam detik tersebut. Bagaimanapun sehingga habis majlis Anwar, kumpulan Bendera tidak muncul.

Bahkan Anwar ketika berucap menyebut beliau mendengar ada sekumpulan NGO yang mahu mengadakan demonstrasi, jika mereka datang Anwar akan turun dan berhujah.

Dari situ saya dapat lihat pertalian NGO berkenaan dengan pemimpin pembangkang tersebut. Mungkin juga demonstrasi anti-Malaysia didalangi oleh pembangkang Malaysia sendiri.

PRK PORT DICKSON

Bersambung pula kisah Anwar ini di episod Port Dickson. Apabila kerusi Parlimen Port Dickson dikosongkan bagi membolehkan Anwar bertanding dan masuk ke dalam parlimen, saya diarahkan membuat liputan pilihan raya kecil berkenaan.

Arahan yang saya terima dari bos besar ialah memastikan kemenangan besar Anwar dan tiada liputan bagi dua calon Bebas iaitu Tan Sri Isa Samad dan Mohd Saiful Bukhari Azlan. Calon-calon Bebas lain sahaja dibenarkan untuk diliput.

Saya dimaklumkan selepas Anwar menang di Port Dickson, dalam tempoh dua bulan beliau akan menjadi perdana menteri.

Bagaimanapun tempoh dua bulan itu sudah lama berlalu daripada kerajaan Pakatan Harapan berkuasa, sehingga tumbang dan kini negara diperintah oleh Perikatan Nasional, ia belum juga berlaku.

ANGKA MILIK ANWAR

Kini ketika meter Anwar naik apabila beliau menyatakan mempunyai sokongan cukup untuk membentuk kerajaan, beliau menjadi sasaran dan diserang kiri kanan.

Pemimpin yang kuat menyerang beliau sudah pastinya Dr. Mahathir yang menyatakan Anwar tidak mempunyai kebolehan dan kemampuan untuk memimpin negara.

Bagaimanapun ini semua kerja Tuhan tiada siapa tahu akan berlaku pada masa hadapan dan kita telah melihat bagaimana tiba-tiba Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadi Perdana Menteri. Dan tidak mustahil Anwar juga menjadi perdana menteri selepas ini.

Janji tinggal janji.

Jika Dr. Mahathir menjadi perdana menteri sebanyak dua kali, mungkin juga Datuk Seri Najib Tun Razak diberi peluang sekali lagi menjadi perdana menteri.

Pada masa yang sama pemimpin underdog seperti Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Mohamad Hasan juga boleh tiba-tiba terpilih sebagai perdana menteri.

Politik negara kita terlalu dinamik dan selepas kerajaan Barisan Nasional tumbang pada pilihan raya lalu, kini ia sedang mencari titik keseimbangan.

Jadi para pemimpin dan penyokong parti tidak perlulah terlalu fanatik. Begitu juga dengan para wartawan. Bagi saya pula, saya sudah melibas cambuk saya, saya puas hati dan tiada lagi dendam.

Siapa sahaja yang memimpin negara jika salah akan saya kritik, tanpa melampau batasan dan menghormati sebagai seorang pemimpin yang menjaga negara.

Keharmonian negara adalah yang paling utama kerana di sinilah tempat tanah tumpah darah kita. – SuaraMerdeka

 

 

 

(Visited 413 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button