Ekonomi

U Mobile manfaatkan rangkaian gentian TM di seluruh negara

U Mobile, penyedia rangkaian 5G Generasi Baharu Malaysia, telah mengumumkan pelantikan TM, pemboleh digital Malaysia, sebagai rakan backhaul gentian utama bagi mempercepatkan pelaksanaan rangkaian 5Gnya di seluruh negara.

Perjanjian kerjasama bernilai RM 2.4bilion untuk tempoh 10 tahun telah dimeterai hari ini dalam satu majlis menandatangani perjanjian yang berlangsung di Sofitel Kuala Lumpur Damansara dan disaksikan oleh YB Datuk Fahmi Fadzil, Menteri Komunikasi.

Dengan kerjasama ini, TM akan menyediakan perkhidmatan infrastruktur backhaul yang menyeluruh kepada U Mobile, termasuk akses talian gentian pajakan ke Rangkaian Akses Radio (RAN) 5G U Mobile, pajakan pusat data dan TM Edge Facility untuk Titik Hubungan (Points of Interconnect – POI), serta talian pajakan trunk bagi memastikan keterhubungan antara wilayah.

Dengan jaringan gentian TM yang meliputi lebih 740,000 km di seluruh negara dan merupakan liputan backhaul gentian paling meluas di Malaysia, U Mobile dalam kedudukan untuk mempercepatkan pelaksanaan rangkaian 5G Generasi Baharunya di seluruh negara.

Perkongsian strategik ini membolehkan U Mobile memanfaatkan Perkhidmatan Backhaul 5G Mudah Alih TM yang menyeluruh bagi memastikan prestasi rangkaian yang tinggi dan sambungan yang stabil untuk perusahaan dan pengguna.

“U Mobile berbesar hati melantik TM sebagai rakan strategik gentian backhaul kami. Memandangkan TM memiliki liputan yang meluas di Malaysia, pelantikan ini membolehkan U Mobile mempercepatkan lagi peluasan rangkaian 5G kami.

“Bersama TM dan rakan-rakan strategik lain, kami komited untuk mencapai 80% liputan kawasan berpenduduk dalam tempoh 12 bulan, sambil memastikan pengalaman 5G unggul, dengan keupayaan menampung kapasiti tinggi dan kelajuan amat pantas demi manfaat perusahaan dan pengguna di seluruh Malaysia,” kata Wong Heang Tuck, Ketua Pegawai Eksekutif U Mobile.

“TM berbangga menyokong keperluan rangkaian 5G U Mobile dengan menawarkan backhaul gentian berkapasiti tinggi, tulang belakang penting kepada ekosistem 5G yang berdaya tahan dan berprestasi tinggi.

“Kerjasama ini mencerminkan komitmen kami dalam membina infrastruktur inklusif dan bersedia untuk masa depan, yang turut menyemarakkan inovasi, mempertingkatkan keterhubungan, dan memacu kemajuan digital di seluruh negara. Ini adalah sejajar dengan peranan TM sebagai pemboleh Digital Malaysia – tonggak kepada aspirasi kami untuk menjadi ‘Digital Powerhouse’ menjelang 2030,” kata Amar Huzaimi Md Deris, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, TM.

Melalui kerjasama ini, U Mobile dan TM mengukuhkan komitmen mereka untuk mempercepatkan sambungan 5G Malaysia, memupuk inovasi digital, dan memperkasakan perusahaan dan komuniti di seluruh negara.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.
Back to top button