fbpx
BeritaNasional

Tutup taman tema jejas maruah negara

SYARIKAT induk pelaburan negara, Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) perlu mengambil alih taman tema, Movie Animation Park Studios (MAPS) daripada kerajaan negeri Perak.

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika mencadangkan perkara itu berkata, Khazanah juga patut membuat pilihan menangguhkan rancangan untuk menutup Hello Kitty & Thomas Town pada 31 Disember 2019 ini kerana tindakan itu hanya merugikan banyak pihak menjelang Tahun Melawat Malaysia 2020 bermula.

“Khazanah perlu melihat semula apa yang patut dilakukan pada Hello Kitty, bagi menjadikan ia lebih menarik dan bukannya membiarkan pelaburan hilang begitu sahaja.

“Penambah baik dan pembaharuan berterusan perlu ada,” katanya menerusi hantaran terbaharu dalam laman Facebook beliau hari ini.

Mengulas lanjut kata Najib, pelaburan untuk membuat promosi secara besar-besaran kepada Legoland, MAPS, Hello Kitty Town & Thomas Town sangat penting bagi menarik pelancong.


“Promosi perlu lebih kreatif serta strategik dan bukan sekadar ‘melepaskan batuk di tangga’.

“Jika kita tarik 100,000 pelancong asing yang berbelanja RM3,000 seorang semasa Tahun Melawat Malaysia 2020, nilai pendapatan untuk negara sudah RM300 juta,” jelasnya.

Dalam pada itu kata beliau, industri taman tema sebagai perniagaan berskala besar memerlukan pelaburan juga besar, berterusan dan jangka masa yang panjang untuk menjana pulangan.

“Rugi pada tahap awal bukan bermakna negara rugi. Kita perlu lihat pada perspektif lebih luas iaitu limpahan perbelanjaan pelancong di hotel dan restoran tempatan serta
perniagaan-perniagaan berskala kecil, sederhana di sekeliling taman tema itu sendiri.

“Selain cukai hiburan dikutip kerajaan bagi taman tema ini, cukai servis hotel, cukai keuntungan perniagaan, levi dikutip daripada pelancong, masuk ke dalam kantung kerajaan,” katanya.

Berdasarkan faktor-faktor tersebut, ujar Najib, taman tema berskala besar sering disokong, dibiayai dan dimiliki oleh kerajaan – seperti Disneyland Shanghai dan Disneyland Hong Kong.

Beliau turut memberi contoh, Legoland Johor memerlukan kos RM1 bilion manakala kos taman tema di Genting pula mencecah RM3 bilion.

“PH (Pakatan Harapan) seperti tak faham bahawa taman tema berskala besar dan bertaraf antarabangsa serta menerima kerjasama jenama terkenal antarabangsa memerlukan kos tinggi,” katanya yang kesal dengan apa yang berlaku.

Sementara itu kata Najib, tindakan kerajaan PH mahu menguruskan sendiri MAPS dan memansuhkan caj kemasukan bermula 1 Mac lalu dilihat sebagai langkah yang kurang bijak.

“Selepas itu, pekerja-pekerja MAPS dibuang kerana MB (Menteri Besar) kata MAPS perlu jimat kos. Akibatnya, ramai pelawat mengadu bahawa hampir separuh tarikan di MAPS tidak berfungsi – kononnya dalam penyelenggaraan.

“Rating dan pengesyoran yang diberi oleh pelawat semakin jatuh. Pelawat semakin berkurangan kerana kurangnya promosi dan tarikan baharu,” dakwa beliau.

Disebabkan kelemahan pengurusan katanya, MAPS kini tinggal ‘nyawa-nyawa ikan’ sahaja atau ‘bagai telur di hujung tanduk’ dan situasi ‘hidup segan, mati tak mahu itu’ amat memalukan.

MAPS yang dimiliki kerajaan negeri Perak, dibuka pada Jun 2017 ketika di bawah kepemimpinan Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir.

Polemiknya bermula apabila selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (Mei 2018) kerajaan negeri PH mendakwa berlaku penyelewengan dalam MAPS yang menyebabkannya rugi sedangkan taman tema biasanya memerlukan tempoh beberapa tahun sebelum berupaya menjana keuntungan.

Show More

Related Articles

Back to top button