Politik

Tutup kes: Anwar tidak maafkan tuduhan jelek Muhammed Yusoff 

PRESIDEN PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak dapat memaafkan tuduhan Muhammed Yusoff Rawther disebalik keputusan Jabatan Peguam Negara untuk tidak meneruskan kes tersebut hari ini.

Anwar berkata, beliau  mengalu-alukan keputusan Jabatan Peguam Negara dan menzahirkan penghargaan dan terima kasih beliau kepada pihak berkuasa atas profesionalisme yang ditonjolkan.

Namun, menurut Anwar tindakan undang-undang yang telah dimulakan sebelum ini akan diteruskan kerana tuduhan yang dilemparkan Muhammed Yusoff disifatkan sebagai jelek, semberono dan yang menghina terhadap dirinya.

“Meski dakwaan yang sah tidak boleh diketepikan dan harus disiasat sesuai dengan proses hukum, namun saya tidak dapat memaafkan tuduhan yang jelek, semberono dan yang menghina terhadap saya.

“Untuk memastikan keadilan ditegakkan, tindakan undang-undang yang telah dimulakan sebelum ini akan diteruskan,” kata Anwar dalam satu kenyataan.

Jabatan Peguam Negara hari ini memaklumkan tidak akan mendakwa Anwar atas dakwaan serangan seksual terhadap Muhammed Yusoff  kerana kekurangan bukti.

Peguam Cara Negara, Engku Nor Faizah Engku Atek, dalam satu kenyataan hari ini berkata, terdapat percanggahan fakta yang material, yang tidak dapat menyokong sebarang pendakwaan mana-mana orang di bawah seksyen 354 Kanun Keseksaan, atau mana-mana seksyen lain di bawah Kanun yang sama.

“Kami juga mendapati tidak terdapat cukup keterangan untuk membuat pertuduhan mengenai laporan-laporan polis yang dibuat berdasarkan keterangan-keterangan yang ada dalam Kertas

“Dalam hal keadaan yang demikian, kami bersetuju dengan saranan PDRM supaya kes ini ditutup,” katanya sambil menambah penyiasatan boleh dibuka semula sekiranya dan apabila terdapat keterangan baru.

Dalam kenyataan itu, Engku Nor Faizah berkata, atas sebab yang dinyatakan, Jabatan Peguam Negara setuju dengan saranan Polis Diraja Malaysia (PDRM) supaya kes itu tidak dilanjutkan.

Muhammed Yusoff telah membuat perakuan bersumpah mendakwa dicabul Anwar 2 Oktober tahun lepas bagaimanapun perkara itu dinafikan Presiden PKR itu yang mendakwa sedang berkempen pada Pilihan Raya Kecil Port Dickson pada tarikh berkenaan-SM

 

(Visited 242 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button