Nasional

Permohonan Geran Khas Prihatin 4.0 dibuka hari ini

Pendaftaran permohonan Geran Khas Prihatin (GKP) 4.0 bagi Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) mikro yang tidak pernah menerima geran berkenaan dibuka mulai hari ini hingga 31 Julai.

GKP 4.0 melibatkan peruntukan sebanyak RM1 bilion di bawah Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) yang diumumkan pada 28 Jun lalu.

Setiap pemohon akan menerima bayaran RM1,000 secara berperingkan pada bulan September dan dan November.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, penerima GKP sebelum ini tidak perlu membuat permohonan baharu.

“Bagi PKS mikro yang tidak pernah menerima GKP sebelum ini, tempoh pendaftaran GKP 4.0 akan dibuka mulai 15 hingga 31 Julai 2021 secara dalam talian melalui Portal GKP, iaitu https://gkp.hasil.gov.my.

“Dengan adanya proses pendaftaran baharu ini, sebahagian daripada kalangan PKS mikro yang tidak lulus dan belum menerima GKP masih diberi ruang untuk mengemukakan permohonan untuk dibuat verifikasi semula,” katanya dalam Laporan Laksana ke-61 hari ini.

PKS mikro yang layak untuk GKP 4.0 adalah perniagaan yang menepati kriteria PKS mikro dan juga berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) atau Lembaga Hasil Dalam Negeri
Malaysia (LHDNM) setakat 30 Jun 2021.

Secara keseluruhan, jumlah peruntukan yang telah dan akan disalurkan kepada hampir 1 juta PKS mikro di bawah GKP semenjak COVID-19 melanda negara adalah RM6.1 bilion.

Sementara itu, di bawah GKP 3.0 (PEMERKASA+), Kerajaan telah menyalurkan RM1 billion atau RM1,000 bagi setiap PKS mikro.

Kerajaan menyalurkan RM500 juta atau RM500 bagi setiap PKS mikro bermula 12 Julai secara berperingkat.

Geran Khas Prihatin adalah bantuan tunai secara one-off kepada PKS mikro yang layak mendepani cabaran pandemik COVID-19.

Laporan itu juga menyebut sebanyak RM167.98 juta telah disalurkan kepada 13,720 perusahaan kecil sederhana (PKS) Mikro pertanian melibatkan golongan petani, peladang dan nelayan.

Kerajaan memperuntukan pembiayaan bernilai RM400 juta kepada golongan tersebut dengan RM350 juta merupakan peruntukan di bawah Skim Pembiayaan Mikrokredit Agrobank. Jaminan makanan dititikberatkan di dalam Pelan Penjana dan Belanjawan 2021.

Selain itu, setakat 2 Julai, sejumlah RM76.62 juta telah disalurkan kepada 13,873 perniagaan dalam bentuk geran dan pinjaman untuk langganan perkhidmatan digitalisasi.-SM

 

 

 

 

(Visited 224 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button