Rencah Hidup

Pelajar UPSI pinjam semangat kepahlawanan Murut hasilkan karya seni

MEMINJAM semangat kepahlawanan orang terdahulu dalam mempertahankan negara daripada ancaman kuasa asing.

Itu yang diterjemahkan pelajar tahun akhir Fakulti Seni, Komputeran dan Industri Kreatif, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Jerrymie Macklis Jamulis, 24, menerusi karya lukisannya yang diberi judul Mantra Kalawon.

Menurut pemuda yang berasl dari Keningau, Sabah ini, Mantra Kalawon bermaksud ‘Mantera Pahlawan’ dalam bahasa Murut.

“Ketika menerima tugasan tema projek tahun akhir iaitu ‘Dimensi 100: Ruang dan Masa’ yang menginginkan perubahan dan keunikan, kami dituntut untuk tampil lebih kreatif dan inovatif dalam menghasilkan karya iaitu keluar dari kelaziman studio.

“Ketika itulah saya mula mencari apakah tema yang ingin saya ketengahkan dan akhirnya tercetus ilham untuk menyelami identiti etnik Murut yang kaya dengan pelbagai budaya dan sejarah,” katanya.

Menurut Jerrymie, menerusi tugasan ini juga barulah dia menyedari rupanya mendiang moyangnya merupakan seorang dariapda Komando Semut Murut.

Mendiang Balang Basi memakai pingat Darjah Keperwiraan Sabah.

Jelasnya, perkara itu diketahui selepas menemuramah keluarganya dan neneknya yang mendedahkan rahsia tersebut.

“Penduduk Borneo tidak menyukai dengan cara penjajahan Jepun yang kejam terhadap rakyat ketika itu. Akhirnya pada bulan Mei tahun 1945 telah berlaku suatu operasi membabitkan pihak Unit Khas Z dari Australia untuk membantu pihak British mengekang kemaraan tentera Jepun.” Verita Jerrymie.

“Operasi Unit Khas Z telah mengumpulkan pahlawan setiap suku kaum berbeza. Pahlawan-pahlawan ini telah bersatu bergabung tenaga dengan pihak Unit Khas Z Australia di dalam operasi senyap yang dipanggil sebagai Operasi Semut.

“Pahlawan-pahlawan berstatus Komando ini mempunyai kelebihan hebat di dalam hutan belantara. Merisik dan menyerang hendap musuh dengan cekap tanpa belas kasihan.

“Operasi Semut yang bermula di Bario, Sarawak sekitar 25 Mei 1945 berjaya menyekat kemaraan pihak Jepun ketika itu. Melihatkan kejayaan Operasi Semut pertama di Bario, lebih 80 Operasi Semut dilaksanakan di daerah-daerah lain Borneo dan berjaya melumpuhkan kemaraan Jepun,” katanya.

Kata Jerrymie lagi, komando-komando semut yang terdiri daripada pelbagai latar belakang warga peribumi ini dikatakan telah memenggal ratusan kepala dan membunuh lebih 1846 tentera Jepun pada ketika itu.

Ujarnya, moyangnya yang dikenali sebagai mendiang Balang Basi cukup digeruni kerana ketika itulah mendiang menghidupkan kembali semangat penentangan terhadap kerajaan Jepun dengan meniupkan semboyan memenggal kepala di penempatannya di Long Pasia, sempadan Sabah, Sarawak dan Kalimantan.

“Bagaimanapun kisah mereka ini adalah perwira yang tidak didendangkan kerana operasi ini menjadi rahsia selama 30 tahun kerana terikat Akta Rahsia Rasmi Australia ketika itu,” jelasnya lagi.

Balang Basi menerima anugerah keperwiraan oleh Yang Dipertua Ketua Menteri Sabah, Tun Datuk Mohammed Adnan Robert pada tahun 1984.
Pingat Keperwiraan Negeri Sabah bergelar Darjah Yang Amat Mulia Kinabalu milik moyang Jerrymie.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Kaji motif bunga terung lambang kegagahan kaum Murut

Bercerita mengenai karya seninya, Jerrymie berkata atas semangat kepahlawaan kaum Murut, dia memilih untuk mengkaji motif bunga terung yang sering digunakan masyarakat Murut untuk mencacah tatu.

“Motif bunga terung digunakan banyak suku di kedua wilayah Sabah dan Sarawak kerana banyak suku-suku kaum di sini adalah serumpun, dan merupakan identiti latar belakang kami.

“Tatu Bunga Terung di bahu telah menjadi simbol seseorang itu adalah pahlawan dan ia dikaitkan dengan azimat dan mempunyai mantera untuk melindungi pemilik tatu tersebut. Bukan itu saja, tatu bunga terung juga dianggap sebagai pelindung kepada si pemakai kerana ia dipercayai mempunyai semangat di dalamnya.

“Imej Bunga Terung ini ibaratnya seperti sebuah ‘kad pengenalan’ kepada anak-anak muda yang menunjukkan identiti dan asal usul orang Murut bila merantau ke tempat jauh,” katanya.

Ketika itu Jerrymie melakukan eksperimen mencacah motif ini pada kulit silikon dan gagal menghasilkan imej yang diinginkan.

“Saya kecewa, kerana bukan mudah rupanya hendak menghasilkan cacahan tatu apatah lagi tidak mahir menggunakan mesin pencacah tatu.

“Sungguhpun begitu, saya tak putus asa lalu mengekspreskan karya seni saya pada kanvas pula dengan menggabungkan lukisan dengan kaedah tarian. Pada awalnya saya mengolah lukisan tersebut menggunakan medium arang, cat air dan pastel dengan gaya tarian moden hip-hop seperti breakdance, pada kanvas,” katanya.

Di awal penghasilan karyanya, Jerrymie mengakui terasa janggal sebelum mengolah semula karyanya menggunakan pendekatan sama tetapi kali ini dia menggelek arang, cat arkrilik pada kanvas sambil tubuhnya bergelek mengikut tarian magunatip, sebuah tarian tradisional yang untuk majlis keraian dan istiadat penting masyarakat Murut.

Sambil mengikut rentak irama irama paluan gong Murut Tahol, perlahan-lahan imej yang yang terlakar pada kanvas membentuk imej karya menepati kehendaknya.

Antara aksi unik Jerrymie ketika menghasilkan karya seni lukisan dengan menggabungkan tarian magnutip, tarian tradisional etnik Murut.

Akhirnya, Jerrymie berjaya menghasilkan sebanyak enam buah karya bersaiz besar iaitu lima buah di antaranya 6×6 kaki persegi dan sebuah karya 6×14 kaki. Kesemua karya tersebut dipamerkan bersama 70 buah karya lain dalam Pameran Virtual Dimensi 100: Ruang dan Masa melalui aplikasi Artsteps.

“Melalui proses penghasilan siri karya ‘Mantra Kalawon’ ini saya berjaya menyelami budaya etnik kaum Murut dan mengenali dengan lebih mendalam tentang asal usul saya.

“Jika sebelum ini, mungkin saya tidak ambil pusing sangat, tetapi bila dah selami sendiri, barulah saya sedar bahawa kita ini kaya dengan budaya dan sejarah hebat. Bak kata pepatah, tak kenal maka tak cinta,” katanya. -SM

(Visited 1,024 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button