Hiburan

Tunggu Di KLIA, Tapi Visa Tak Sampai – Amir Ukays Kesal Jadi Mangsa Haji Percuma

PENYANYI terkenal era 90-an, Amir Ukays atau nama sebenarnya Mohd Azmir Muhammad Yusof, berdepan detik mengecewakan apabila menjadi antara 82 mangsa penipuan tawaran menunaikan haji secara percuma menggunakan visa Mujamalah.

Amir, yang dikenali menerusi lagu hit Di Sana Menanti Di Sini Menunggu, sepatutnya berlepas ke Tanah Suci bersama isterinya, Sarimah Ahmad, pada 1 Jun lalu. Namun, impian tersebut musnah apabila mereka mendapati tiada sebarang pergerakan atau wakil agensi pelancongan yang hadir di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) seperti dijanjikan.

Menurut Amir, mereka menerima maklumat berkenaan tawaran haji percuma itu pada April lalu daripada seorang rakan, yang mendakwa ia ditaja oleh seorang dermawan. Pasangan itu kemudian menerima surat tawaran melalui aplikasi WhatsApp yang kononnya sah daripada sebuah agensi pelancongan terkenal.

“Saya dan isteri diminta hadir di KLIA pada 1 Jun. Kami tunggu dari pagi sampai petang, tapi tiada sesiapa datang. Kemudian, kami diminta datang semula pada 3 Jun untuk naik penerbangan carter, tetapi individu yang pegang semua dokumen penting juga tidak muncul,” jelas Amir yang kecewa dengan insiden tersebut.

Menyedari mereka menjadi mangsa penipuan, Amir dan isterinya segera membuat laporan polis di Balai Polis KLIA. Kes kini disiasat mengikut Seksyen 420 dan Seksyen 511 Kanun Keseksaan.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sulizmie Affendy Sulaiman, mengesahkan bahawa siasatan sedang dijalankan dan menasihati orang ramai agar tidak mudah terpedaya dengan tawaran menunaikan haji di luar saluran rasmi.

“Saya rayu pada semua agar semak dahulu tawaran sebegini dengan pihak berkuasa atau Tabung Haji. Jangan sampai kita jadi mangsa penipuan seperti saya dan isteri,” kata Amir yang tidak dapat menahan rasa terkilan apabila peluang menunaikan haji yang dinanti-nanti itu lenyap begitu sahaja.

Kes ini bukan sahaja membabitkan kerugian emosi dan masa, malah telah memperlihatkan bagaimana individu tidak bertanggungjawab sanggup mempermainkan urusan ibadah suci demi keuntungan sendiri.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button