Sukan

Sumareh sudah tawar hati dengan Pahang

JODOH pemain naturalisasi pertama negara, Mohamadou Sumareh bersama pasukan Pahang menghampiri penghujungnya.

Pengurus pasukan Pahang Datuk Mohammed Suffian Awang mengesahkan Sumareh yang masih memiliki baki kontrak sehingga 2022 sudah tidak mempunyai hati bersama pasukan berkenaan selepas pemain sayap kebangsaan itu tidak menyertai sesi latihan skuad Tok Gajah sejak sebulan lepas.

Menurut beliau, sikap yang mencerminkan seseorang pemain tidak profesional itu telah dibawa ke peringkat tertinggi Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang (PBNP) untuk tindakan selanjutnya.

“Pihak tertinggi PBNP akan membuat keputusan selanjutnya serta tindakan disiplin yang bakal diambil. Buat masa sekarang saya tak boleh komen dari sudut tindakan.

“Cuma saya melihat dalam hal ini, hati Sumareh mungkin tidak lagi bersama Pahang,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Kongres Tahunan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) kali ke-56 di sini, hari ini.

Ketua jurulatih Pahang Dollah Salleh sebelum ini mendedahkan pemain kelahiran Gambia berusia 27 tahun itu tidak menyertai sesi latihan, sekali gus menjejaskan persiapan pasukan menjelang saingan Liga Malaysia (Liga-M) yang bersambung semalam.

Pada masa sama, Mohammed Suffian berkata pihaknya tidak didatangi mana-mana pasukan yang berminat mendapatkan khidmat Sumareh, sekali gus menafikan terdapat unsur ‘tapping up’ (merekrut pemain ketika masih terikat dengan kontrak bersama pasukan lain).

“Mungkin ada pasukan yang berhubung secara peribadi dengan beliau, itu kami tak ada pengetahuan tetapi proses sebaiknya pemain itu datang berjumpa dengan pengurusan tertinggi secara bersopan-santun untuk berbincang. Sebagai contoh isu perpindahan Matt Davies yang tampil berbincang terlebih dahulu,” tambah beliau.

Sementara itu, Sumareh dalam hantaran terkini dalam akaun Instagram miliknya memohon maaf kepada peminat dan penyokongnya.

“Sayangnya perkara terjadi seperti ini, saya tidak berniat untuk mungkir janji mengenai sokongan saya terhadap kelab berprestij ini. Bagaimanapun, kadang kadang sesuatu perkara tidak berlaku seperti yang dirancang. Saya memohon maaf atas segala kesulitan yang berlaku.

“Buat masa ini, saya tidak mahu mengulas lanjut. Hanya masa yang akan menentukannya,” kata Sumareh.- BERNAMA

(Visited 290 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button