Politik

Kalau benar Chong Wei sokong DAP pun, tak ada salah

TIDAK ada salahnya jika benar legenda badminton negara Lee Chong Wei menyokong DAP.

Ahli Parlimen Bukit Mertajam Steven Sim berkata demikian selepas bekas pemain badminton negara itu dikritik kerana memberi sumbangan komputer kepada kempen Asal Cek Mau Pi Sekolah yang dilancarkan beliau untuk diagihkan kepada murid yang memerlukan.

“Chong Wei, saya minta maaf kerana susahkan kamu. Saya berasa amat sedih membaca berita bahawa Lee Chong Wei dikecam oleh sesetengah pihak kerana memberi sumbangan kepada kempen Asal Cek Mau Pi Sekolah.

“Sampai mereka gesa gelaran “Datuk” beliau ditarik balik kononnya kerana sokong DAP. Kalau benar sokong DAP pun, tak ada salah,” kata Steven.

Pada 5 Februari lalu, Chong Wei menyumbang 50 unit tablet untuk kempen Asal Cek Mau Pi Sekolah untuk membantu pelajar kurang berkemampuan di kawasan Bukit Mertajam mengikuti sesi pembelajaran di rumah.

Ia dilancarkan pada 24 Jan lalu dan terbahagi kepada lima inisiatif iaitu perkhidmatan mencetak kerja rumah secara percuma, kelas bimbingan dalam talian percuma, tambah nilai data internet, program anak angkat MP Bukit Mertajam dan komputer riba percuma.

Melalui program itu Steven dan petugasnya mengumpulkan dana atau peranti yang bersesuaian untuk diserahkan kepada pelajar yang layak tanpa diikat banyak syarat.

Chong Wei kemudiannya mahu menyumbangkan 20 komputer riba kepada kempen tersebut.

Menurut Steven, tindakan Chong Wei untuk memberi bantuan itu bukan bermotif politik tapi kerana ingin membantu pelajar yang memerlukan.

“Hati saya terasa amat pilu sekali. Kita ke hulu ke hilir mencari laptop. Mencari keluarga miskin. Mencari anak-anak yang hendak belajar tapi tak ada peranti.

“Datang orang yang murah hati macam Chong Wei, kerja kita jadi ringan sedikit. Tapi dia buat baik, dia pula dikatakan macam-macam. Adakah adil?” kata Steven.

Menurut Steven semasa mengagihkan bantuan pihaknya tidak bertanya penerima siapakah atau parti manakah yang mereka sokong.

“Apabila kita beri laptop/tablet, kita tak lekat logo parti politik, tak tulis undi DAP, tak suruh sokong Pakatan Harapan.

“Laptop hanya ada logo syarikat pengeluar, tablet hanya ada cap jenama. Macam mana saya beli dan dapat dari penjual, macam itu juga saya serahkan kepada anak-anak kita,” katanya.-SM

(Visited 777 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button