Berita

Kerajaan prihatin masalah perokok

PIHAK berkuasa tempatan (PBT) yang ingin membina kawasan khas merokok di tempat-tempat awam dalam kawasan masing-masing boleh membuat permohonan peruntukan kepada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).

Menterinya, Zuraida Kamaruddin berkata sebanyak 155 PBT di seluruh negara boleh membina kawasan khas merokok di tempat-tempat awam terpilih terutamanya di medan selera.

“KPKT akan meminta semua 155 PBT di seluruh negara untuk menyediakan kawasan khas merokok di kawasan sesuai. PBT boleh membuat permohonan peruntukan itu kepada KPKT untuk menyediakan kawasan khas merokok berkenaan,” katanya kepada pemberita di pejabatnya di Putrajaya hari ini.

Beliau berkata kerajaan prihatin dengan masalah dihadapi perokok dan PBT akan menyediakan kemudahan untuk mereka (merokok), manakala penguatkuasaan dilakukan oleh pegawai Kementerian Kesihatan.

Jelas Zuraida, pemilik premis makanan yang ingin mewujudkan kawasan merokok tidak jauh dari premis makanan masing-masing dengan kos sendiri, perlu mendapat kebenaran selain mengikut garis panduan yang dikeluarkan oleh PBT.

“Kawasan khas merokok yang disediakan hendaklah berada di luar premis makan dan sekurang-kurangnya tiga meter dari meja makan yang terakhir dan sebarang makanan atau minuman tidak boleh disediakan, dijual atau dihidang di dalam kawasan merokok itu bagi mematuhi peraturan Kementerian Kesihatan,” katanya.

Jelas Zuraida, pemilik premis perlu menyediakan tempat pembuangan puntung rokok dan adalah menjadi tanggungjawab pemilik premis untuk menjaga kebersihan kawasan berkenaan.

Satu notis/papan tanda yang jelas hendaklah dipasang untuk menandakan kawasan itu adalah ‘Kawasan Merokok’, katanya.

Beliau berkata kawasan khas merokok itu dicadang diadakan di tempat yang berbumbung/berkanopi bagaimanapun, sekiranya ruang khas itu melibatkan pembinaan struktur kekal, pemilik premis perlu mendapat kelulusan daripada PBT.

Bermula 1 Jan 2019, peraturan larangan merokok dikuatkuasakan di semua restoran bertutup, berhawa dingin atau restoran dan warung berkonsep terbuka, namun perokok masih dibenarkan merokok pada jarak tiga meter dari luar restoran terbabit.

Pada 1 Jan tahun ini, Kementerian Kesihatan melaksanakan penguatkuasaan penuh larangan merokok di tempat makan dengan kompaun maksimum sehingga RM350.

Sebelum ini, Timbalan Menteri Kesihatan Dr Lee Boon Chye berkata premis makanan tidak dibenarkan menyediakan ruang khas untuk merokok di dalam kawasan operasi perniagaan mereka dan ruang khas merokok di luar kawasan (lingkungan tiga meter), bukan berada di bawah bidang kuasa Kementerian Kesihatan tetapi PBT.

— BERNAMA

(Visited 51 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button