Nasional

MAIPs terus fokus tingkatkan kesejahteraan rakyat – Raja Muda Perlis

Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) akan terus merancang program-program yang berfokus dan terarah dalam mempertingkatkan lagi kesejahteraan rakyat bagi menjadikannya sebagai sebuah organisasi yang utuh dan kekal relevan.
Pelbagai usaha bagi meningkatkan lagi imej, kredibiliti dan integriti haruslah menjadi agenda utama di hati semua warganya supaya boleh membentuk “Pekhidmat Majlis” yang boleh menjadi “role model” kepada masyarakat.

Penghargaan juga diucapkan kepada seluruh “Keluarga Besar MAIPs” termasuklah jabatan dan agensi hal ehwal Islam bernaung dengan Majlis ini yang sentiasa bertungkus-lumus memainkan peranan yang signifikan dalam menjayakan pelbagai inisiatif dan daya usaha dalam meningkatkan kredibiliti dan nama baik masing-masing.

Demikian titah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selepas berkenan berangkat menyerahkan sumbangan agihan zakat MAIPs kepada seramai 30 orang asnaf terpilih daripada kalangan anak kariah Masjid Al-Mursyid Pekan Pauh, Arau ketika berangkat menunaikan solat jumaat semalam.

Baginda menyerahkan sumbangan tersebut kepada amil kariah, Ku Mat Isa Ku Ismail mewakili para penerima melalui SOP terkini sempena ‘Program Hijrah Minda MAIPs Bilangan ke 20 bagi tahun 2021.

Hadir sama ialah Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Hj Mohd Nazim Mohd Noor dan Imam Besar Negeri Hj. Ahmad Sirajuddin Abdul Sattar.

Tambah baginda yang juga merangkap Tuanku Yang DiPertua MAIPs, ‘Sebagai sebuah organisasi yang telah mencapai usia 100 tahun pada 2020 yang lalu, MAIPs perlulah sentiasa berusaha bagi mempertingkatkan lagi usahanya. Justeru, pada kurun kedua era penubuhannya ini, MAIPs perlu untuk terus dipercayai, disayangi, disegani dan berada pada tahap terbaik di sisi masyarakat dan rakyat.

Selain itu seluruh warganya mestilah terus fokus, komited dan istiqamah dalam membantu warga asnaf dan yang memerlukan di negeri yang tercinta ini.

Turut diadakan ialah simbolik penyerahan ‘Tauliah Pendaftar Perkahwinan (Jurunikah) Kariah Masjid Al Mursyid, Guring Pauh, Arau, Perlis’ yang diserahkan oleh Ahmad Sirajuddin kepada Ust Ahmad Syafiq Ahmad Mustafa Khalil sambil disaksikan oleh baginda.

(Visited 285 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button