Nasional

Tun Mahathir Disambut Meriah di Tokyo, Teguh Perjuang Dasar Pandang ke Timur

BEKAS Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr. Mahathir Mohamad menerima sambutan hangat dalam lawatan separuh harinya ke Itabashi, Tokyo baru-baru ini. Kehadiran beliau bersama isteri, Tun Dr. Siti Hasmah Mohd Ali, disambut oleh lebih 300 petugas di ibu pejabat Datuk Bandar Itabashi, menjadikan kunjungan tersebut penuh simbolik dan berprestij.

Lawatan ini diadakan atas jemputan rasmi Datuk Bandar Itabashi, Takeshi Sakamoto, yang turut mengadakan perbincangan tertutup dengan Tun Mahathir membincangkan pelbagai aspek kerjasama serta pertukaran pengalaman pentadbiran.

Sebelum itu, Tun Mahathir juga telah menghadiri Forum Antarabangsa Nikkei ke-30, di mana beliau sekali lagi tampil sebagai figura dihormati dalam menyuarakan pandangannya terhadap isu global termasuk dasar tarif Presiden Amerika Syarikat serta menggesa negara-negara Asia untuk terus meneladani budaya kerja Jepun melalui kesinambungan Dasar Pandang ke Timur.

Menurut Tun Mahathir, budaya ketekunan dan disiplin tinggi masyarakat Jepun perlu dijadikan inspirasi dalam membentuk kemajuan negara-negara Asia yang lain, termasuk Malaysia.

“Saya kagum dengan pendekatan Jepun dalam pembangunan penyelidikan produk, terutama dalam bidang perubatan dan teknologi. Ini harus dijadikan contoh untuk membangunkan daya saing negara,” katanya.

Lawatan ini sekali gus membuktikan bahawa meskipun tidak lagi menyandang jawatan rasmi dalam kerajaan, Tun Mahathir terus diiktiraf sebagai tokoh berpengaruh yang membawa suara Asia ke peringkat global.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button