Nasional

Tiada DNA babi dalam mi kari seperti yang ditularkan

TIADA unsur DNA babi ditemukan dalam mi kari yang didakwa mengandungi daging babi menerusi satu rakaman video oleh netizen yang tular baru-baru ini.

Pengarah Bahagian Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Iskandar Halim Sulaiman berkata, keputusan itu diperoleh selepas dianalisa Jabatan Kimia Malaysia.

“Kita telah menghantar beberapa sampelyang mengandungi daging yang diambil dari restoran tersebut ke Jabatan Kimia Malaysia untuk dianalisa.

“Hasil daripada analisa dan ujian makmal yang dijalankan ke atas sampel daging yang diterima mendapati hanya unsur DNA ayam dikesan di dalam daging berkenaan dan tiada unsur DNA babi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Iskandar Halim, melalui keputusan analisa terbabit, pihak restoran yang disiasat tidak
melakukan kesalahan atau melanggar undang-undang di bawah Perintah Perihal Dagangan (Takrif Halal) 2011 atau Perintah Perihal Dagangan (Perakuan Dan Penandaan Halal) 2011.

Jelasnya, pihaknya akan meneruskan pemantauan secara proaktif dan konsisten berhubung penguatkuasaan halal bagi memastikan pengusaha makanan dan minuman sentiasa patuh terhadap undang-undang.

“Kita juga menyeru kepada pengguna agar sentiasa bertanggungjawab dalam tindakan menyebarkan berita atau isu yang tidak sahih melalui laman media sosial yang mana boleh mendatangkan kesan negatif dan tidak adil kepada pihak yang berkenaan,” katanya.

Ujarnya, orang ramai yang ingin menyalurkan maklumat disarankan menghubungi talian hotline 1-800-886-800 atau 03- 8882 6088 di Enforcement Command Centre (ECC) atau melalui web KPDNHEP atau boleh juga disalurkan melalui aplikasi WhatsApp di talian 019-2794317 supaya tindakan
sewajarnya boleh diambil.

Tambahnya, setiap aduan mestilah lengkap mengandungi nama, nombor telefon, premis, lokasi, gambar aduan yang dimaksudkan dan resit jika aduan berkenaan dengan harga dan pembelian.

Terdahulu, tular satu video yang mendakwa terdapat daging babi dalam mi kari yang dihidang sebuah restoran terkenal dan dikunjungi umat Islam.

Video tersebut mencetuskan perbalahan di antara netizen yang percaya dengan dakwaan tersebut. -SM

(Visited 379 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button