Agama

Semua pihak perlu bersama-sama promosi pembayaran zakat melalui MAIPs – Raja Muda Perlis

Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) adalah milik kita semua. Adalah diharapkan agar semua Ketua Jabatan dan Agensi serta pihak swasta turut sama memainkan peranan yang lebih aktif bagi membantu mempromosikan pembayaran Zakat Pendapatan kepada pihak MAIPs samada melalui pembayaran ’one off’ atau melalui potongan gaji secara bulanan.

Kerjasama jabatan dan agensi serta syarikat-syarikat amat diharapkan bagi memastikan visi dan misi MAIPs sentiasa tercapai dalam membantu agama dan Ummah ke arah yang lebih cemerlang, InsyaAllah.

Demikian titah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selepas berkenan berangkat menyampaikan sumbangan agihan zakat MAIPs kepada seramai 30 orang asnaf terpilih bagi kariah Masjid Saidina Abu Bakar As-Siddiq, Kg Seberang Ramai Kuala Perlis yang diserahkan melalui amilnya Jasni Jonid baru-baru ini. Setiap seorang menerima RM700 dengan jumlah penuhnya bernilai RM21,000.

Berangkat sama ialah Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Terdahulu daripada itu baginda berdua sempena program ‘Kayuhan MAIPs Peduli Menjejaki Dan Menyantuni Asnaf Bilangan ke 32 Bagi Tahun 2022’ di sekitar kawasan tersebut telah berkenan singgah dan menyampaikan sumbangan MAIPs di rumah Aishah Md Hassan yang mempunyai masalah saraf dan tidak boleh berjalan, Norishah Bahari seorang ibu tunggal tidak bekerja yang mempunyai isi rumah seramai 10 orang termasuk dua anak dan 7 orang cucu yang kehilangan ibu bapa serta Amir Shaaban seorang bekas tentera yang mengalami masalah strok dan tidak lagi boleh bekerja.

Sebelum berakhirnya program tersebut Tuanku Raja Muda yang juga merangkap Tuanku Yang DiPertua MAIPs dan Tuanku Raja Puan Muda turut meluangkan masa merasmikan mural lukisan warna-warni keindahan serta ikon-ikon Kuala Perlis di sepanjang tembok Gapura Construction Sdn Bhd yang disambut oleh pemiliknya Datuk Azhar Ahmad sebagai tanda menyokong padu kepada Program Transformasi Di Raja Kampung Nelayan Warna-warni Seberang Ramai Kuala Perlis yang diinisiatifkan oleh MAIPs dan Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis.

Pada kesempatan yang sama Tuanku Syed Faizuddin Putra mengharapkan aktiviti Kayuhan MAIPs Peduli yang baginda telah mulakan sejak tahun 2013 yang lalu dapat terus dilaksanakan agar dapat membantu masyarakat yang kurang berkemampuan di samping dapat menyihatkan mental dan fizikal mereka yang turut serta dalam aktiviti kayuhan ini.

(Visited 330 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button