Politik

Tun Faisal jawab Mohd. Puad, prinsip ‘no Anwar, no DAP’ kekal

PERTELAGAHAN antara bekas Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa), Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi dan Panel Pemikir Jasa, Tun Faisal Ismail Aziz tidak dapat disembunyikan lagi.

Pertelingkahan antara kedua-duanya merupakan bekas kakitangan kepada jabatan yang tidak lagi wujud itu seperti membongkar kepincangan dalam Jasa dahulu.

Malah, pelbagai perkara turut diungkit selain kisah-kisah lama dalam jabatan tersebut, hal berkenaan prinsip Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) Tan Sri Annuar Musa, turut dipersoalkan.

Ini kerana, semalam apabila Mohd. Puad menjawab kepada Tun Faisal yang juga merupakan Setiausaha Akhbar Menteri Wilayah Persekutuan itu turut menyentuh prinsip ‘no Anwar no DAP’.

“Kenapa saya tidak komen video Annuar? Sebab ia adalah kisah lama.

“Hari ini prinsip Annuar kekal “No Anwar, No Dap” dan mempertahankan Permuafakatan Ummah.

“Jika hari ini, beliau seperti Puad, menyokong DAP, saya juga akan membuat teguran yang serupa seperti yang saya buat terhadap Puad, Bossdia, Bosskau dan Bossku.”

Demikian kata Tun Faisal yang juga merupakan Timbalan Ketua UMNO Bahagian Putrajaya dalam satu kenyataan balas kepada Mohd. Puad, hari ini.

Semalam, Mohd. Puad dalam satu kenyataan mendakwa Tun Faisal kini mempunyai kelebihan kerana bekerja dengan seorang menteri.

Oleh demikian, apa sahaja tindakan bekas Exco Pergerakan Pemuda UMNO itu dilihat sebagai menyanjungi bosnya yang merupakan seorang menteri.

“Tidak pelik Tun Faisal membela Bossdia (Annuar Musa) kerana dia makan gaji. Dia pun ada lantikan board, sebab Bossdia Menteri.

“Boss mesti dipertahankan. Ini lumrah bagi orang yang selalu bertukar Boss. Bila dapat Boss baru nanti, ubah lagi. Hendak hidup,” dakwanya.

Bagaimanapun, Tun Faisal dalam kenyataan sama menafikan dakwaan tersebut dengan menegaskan beliau pernah menegur bosnya termasuk Mohd. Puad ketika dalam Jasa.

“Mohd. Puad sepatutnya lebih tahu saya bukan jenis ‘Yes Boss‘ dan berani menyatakan kebenaran termasuklah ketika dia menjadi Bosssaya.

“Sepanjang hidup saya, prinsip saya adalah taat kepada Ulil Amri dan menjaga Institusi, termasuk Institusi Presiden dan organisasi yang saya wakili.

“Taat tidak bermaksud tidak menegur jika mereka melakukan kesalahan dan menyalah guna kuasa. Taat juga tidak bermaksud taksub.

“Saya tidak mempertahankan boss, sepertimana Puad mempertahankan Bossdia, Bosskau atau Bossku walaupun boss-boss ini melakukan kesilapan, menyalah guna kuasa dan melanggar dasar parti.

“Saya hanya akan mempertahankan mereka jika mereka masih berada di landasan yang benar dan tidak menyeleweng dari prinsip perjuangan. Saya ada prinsip dan pendirian sendiri.

“Saya bukan taksub individu atau taksub personaliti tertentu,” tempelaknya. – SM

(Visited 1,121 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan

Wartawan, petugas media Suara Merdeka

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button