Nasional

Baling mercun ke arah polis, tiga lelaki termasuk seorang kanak-kanak dan remaja ditahan

TIGA lelaki ditahan kerana disyaki terlibat dengan melempar mercun ke arah polis yang bertugas di Sentul, semalam.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, kesemua mereka berusia 44 tahun, 12 tahun dan 13 tahun.

“Tangkapan dilakukan kira-kira pukul 9 malam semalam ketika pasukan polis Sentul melakukan rondaan dan pemantauan pembakaran mercun di kawasan Pangsapuri Sri Perak.

“Semasa rondaan itu, polis berjaya menangkap tiga lelaki yang sedang bermain mercun berbentuk bola di Tingkat 11, Blok 33 pangsapuri tersebut.

“Mereka menyalakan sumbu mercun dan membalingnya ke bawah sebelum ia meletup,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Eng Lai, selain tangkapan, pihaknya turut menemukan 48 mercun bola daripada beg yang dipakai remaja berusia 13 tahun.

Ujarnya lagi, satu tangkapan melibatkan seorang lelaki berusia 58 tahun turut dilakukan kira-kira pukul 11 malam semalam.

“Kita menyerbu sebuah rumah di Blok 39, pangsapuri sama dan menahan lelaki tersebut yang didapati menjual mercun tanpa lesen yang sah.

“Selain tangkapan, kita turut merampas 130 biji mercun bola daripada suspek,” katanya.

Jelasnya, kes kini disiasat di bawah Seksyen 3(5) Akta Kesalahan Kecil 1955 ke atas 3 tangkapan pertama kerana kesalahan membakar mercun yang dilarang.

Siasatan juga dijalankan di bawah Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1958 ke atas pejual mercun kerana memiliki atau menjual mercun yang dilarang.

“Kesemua tangkapan juga disiasat bersabit kes lontaran mercun ke atas anggota polis.

“Setakat ini pihak polis tidak menemui keterangan untuk mengaitkan pembabitan mereka dalam kes tersebut maka kesemua tangkapan telah dibebaskan dengan jaminan polis hari ini,” katanya. -SM

(Visited 3,023 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button