NasionalNegeri

KPDNHEP Pahang tahan dua lelaki cuba seleweng diesel

KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Negeri Pahang telah menahan dua lelaki tempatan kerana dipercayai terlibat dalam penyelewengan minyak diesel bersubsidi yang dianggarkan bernilai RM59,000.

Pengarahnya, Datuk Mark Ujin berkata, kedua-dua lelaki berusia 51 dan 21 tahun itu ditahan semasa sedang mengisi minyak di sebuah stesen minyak di Indera Mahkota pada pukul 9.30 pagi semalam dengan menggunakan sebuah lori tujuh tan yang telah diubah suai.

“Terdapat pam di tempat mengisi minyak untuk memindahkan diesel ke lapan tangki penyimpanan dalam lori tersebut dengan setiap satu boleh mengisi sehingga 1,000 liter dan semasa ditahan, tujuh daripada lapan tangki tersebut telah berisi 200 liter diesel.

“Kami percaya mereka tidak akan mengisi penuh semua tangki itu di satu stesen minyak sebaliknya bergerak ke beberapa stesen lain untuk mengelakkan dicurigai akibat terlalu lama mengisi minyak,” katanya, hari ini.

Beliau berkata, diesel itu dipercayai untuk pasaran luar Pahang selain tidak menolak kemungkinan suspek merupakan sebahagian daripada sindiket penyelewengan minyak diesel yang kerap menukar kenderaan digunakan untuk mengelak daripada dikesan pihak berkuasa.

Siasatan lanjut dijalankan mengikut Peraturan 18 (1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan (pindaan) 2021 dan Akta Kawalan Bekalan 1961 yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM1 juta bagi individu atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan. – SM

(Visited 209 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button