Rencana

Tulisan Cina: Tak logik tuduh DAP perjuangkan ketuanan Cina

ANALISIS

KEBIASAANNYA kita sering mendengar istilah ketuanan Melayu. Ia merujuk kepada pihak tidak kiralah parti politik atau badan bukan kerajaan yang bersungguh-sungguh mahu kepentingan orang Melayu dipelihara.

Apa sahaja perbuatan Melayu yang berkaitan dengan budaya seperti mencium keris dianggap sebagai simbol ketuanan Melayu. Padahal keris itu sendiri senjata kesenian tradisi masyarakat pribumi.

Malah apabila tulisan Jawi diperkasakan di dinding-dinding bangunan ataupun pada papan-papan tanda jalan dianggap sebagai simbol ketuanan Melayu.

Padahal tulisan Jawi itu sendiri adalah tulisan warisan masyarakat pribumi. Sama seperti tulisan Cina di negara China dan tulisan Tamil di negeri India dan tulisan Arab di negara Arab.

Dan kini selepas dimomok-momokkan dengan ‘ketuanan Melayu’ tiada lagi Melayu yang berani menjerit-jerit tentang ‘ketuanan Melayu’.

Walaupun istilah ketuanan Melayu itu tidaklah bermaksud orang Melayu menjadi tuan kepada bangsa lain tapi baguslah, dunia pun sudah masuk tahun 2020. Tidak elok dan tidak sopan ada istilah yang menyebabkan bangsa lain sakit hati.

Di negara barat, walaupun dikatakan moden dan maju ada juga puak-puak kulit putih yang berasa mereka lebih berdarjat daripada kaum lain.

Pada April 2019 seorang pengganas berfahaman rasis kulit putih menembak mati 50 orang Islam yang sedang bersedia untuk bersolat Jumaat di dua buah masjid di Christchurch, New Zealand pada 3 April 2019.

Di Amerika, seorang lelaki kulit hitam George Floyd mati di tangan polis kulit putih pada Jun lalu. Akibatnya huru-hara terjadi di seluruh negara itu. Balai polis dibakar.

Jarang kita dengar ketuanan Cina. Malah tak pernah langsung. Tapi peristiwa di Kuching, Sarawak semalam agak mengejutkan banyak pihak.

Sekumpulan pemuda Cina, khabarnya dari parti DAP menampal tulisan Cina pada papan tanda pada tiga batang jalan di ibu negeri Sarawak itu.

Terkejut juga. Ini kerana parti DAP itukan parti berbilang kaum. Bukan ahlinya orang Cina sahaja tetapi ada juga orang Melayu, orang India dan Orang Asal.

Walaupun ramai wakil rakyat DAP itu orang Cina tapi semakin hari semakin banyak juga orang bukan Cina jadi wakil rakyat DAP dalam Dewan Rakyat dan Dewan Undangan Negeri memperjuangkan hak semua kaum.

Bila sebut DAP bukan terbayang muka Lim Kit Siang, Lim Guan Eng dan Teresa Kok sahaja tetapi juga WAJAH Young Syefura Othman, Sheikh Umar Bagharib Ali dan Dyana Sofya Mohd Daud (sekadar menyebut beberapa nama).

Takkanlah DAP yang pelbagai kaum hanya memperjuangkan tulisan kaum Cina untuk diletakkan di papan tanda jalan. Tidak logik langsung jika DAP dituduh memperjuangkan ketuanan Cina.

Kita harap lebih ramai pemimpin-pemimpin DAP tampil mengkritik tindakan Pemuda DAP Kuching semalam yang dilihat tidak sealiran dengan parti DAP yang memperjuangkan hak semua kaum.

Jika Pemuda DAP Kuching mahu memperjuangkan hak semua kaum pastikan bukan sahaja tulisan Cina, malah tulisan Iban dan tulisan Tamil pun perlu ada pada papan-papan tanda di jalan raya.

Ramai rakyat Malaysia berharap peristiwa seperti semalam tidak berlaku lagi.  Kita tidak mahu nama baik DAP menjadi buruk hanya kerana sikap segelintir ahlinya yang tidak memahami aspirasi masyarakat pelbagai kaum di Malaysia.-SM

 

(Visited 435 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button