Negeri

Tular maklumat palsu Covid-19 jejas kunjungan pelancong ke Melaka

Sikap jelik, tak bertanggungjawab penyebar maklumat palsu

TANPA dinyatakan dengan jelas berapakah angka penurunan pelancong domestik yang melawat ke negeri Hang Tuah, yang pasti di sini ialah penyebaran maklumat tidak sahih telah menjejaskan kadar pelancong ke Melaka.

Bertebarannya maklumat palsu dan tidak tepat dan menjadi tular di media-media sosial berkaitan dengan wabak Covid-10 adalah sikap yang tidak bertanggungjawab.

Minggu lepas, amat ketara penurunan pelancong ke Melaka gara-gara tularnya maklumat yang tidak sahih dan tepat.

Situasi itu menjejaskan sektor pelancongan negeri semestinya mendapat perhatian daripada Exco Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan Melaka, Datuk Muhamad Jailani Khamis.

Beliau berkata, tindakan tidak bertanggungjawab itu secara tidak langsung, turut menimbulkan rasa panik dalam kalangan rakyat dan pelancong domestik untuk berkunjung ke Melaka.

Situasi itu, tambah Muhamad Jailani turut memberi kesan terhadap pendapatan negeri dan rakyat yang sebahagian besarnya disumbangkan oleh sektor pelancongan.

“Ya, saya akui memang jumlah kedatangan pelancong pada minggu lepas sedikit terjejas tetapi ia bukan disebabkan peningkatan kes positif Covid-19 yang mencapai tiga digit di seluruh negara. Melaka hanya ada beberapa kes sahaja.

“Masalahnya di sini, tular yang bukan-bukan. Antaranya kes positif Covid-19 melibatkan seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang balik dari Sabah dan dikaitkan dengan aktiviti sanitasi yang dilakukan di Seri Negeri,” katanya.

Muhamad Jailani berkata, kerajaan negeri sentiasa memastikan proses nyah cemar dan pembersihan dilaksanakan secara berkala di semua destinasi dan tempat tumpuan pelancong bagi mengekang penularan wabak Covid-19.

Jadi, kata beliau, pelancong tidak perlu bimbang untuk bercuti ke Melaka.

“Kami  memberi jaminan keselamatan dan kebersihan destinasi atau produk pelancongan di Melaka. Kami berharap prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan, dipatuhi masyarakat pelancong dan penduduk tempatan,” katanya.

Salah satu tarikan pelancong yang bercuti di Melaka ialah Melaka River Cruise yang mudik di sepanjang sungai Kampung Morten, ala-ala menaiki ‘gondola’ di Venice.

Bagi mereka yang ingin merasai pengalaman menaiki bot, Melaka River Cruise menawarkan diskaun harga tiket sebanyak 50 peratus kepada petugas barisan hadapan dan lima ahli keluarga mereka sepanjang Oktober ini.

Promosi itu, katanya, melibatkan tiket masuk bagi dewasa iaitu RM12.50 (harga asal RM25) dan kanak-kanak RM7.50 (harga asal RM15).

Potongan 50 peratus juga diberikan untuk sewaan bot melibatkan 25 penumpang pada harga selepas diskaun iaitu RM500 bagi bot MRC dan Kapal Mendam Berahi (RM750) manakala bot Mawar yang mampu menampung 14 penumpang (RM600).

“Promosi ini diberikan bagi menghargai pengorbanan petugas barisan hadapan yang bertungkus lumus membantu mengekang penularan Covid-19 di negara ini selain menarik lebih ramai pengunjung menaiki bot MRC,” kata Muhamad Jailani. – SM

(Visited 184 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button