Rencah Hidup

Tular Cerita Pocong Dan Kematian Cikgu Nina, Rupanya Rekaan Cerita?

KISAH seram mengenai seorang wanita dikenali sebagai Cikgu Nina yang didakwa tinggal serumah dengan ‘pocong’ dan akhirnya meninggal dunia telah mencetuskan kekecohan di media sosial — namun perkembangan terbaharu mendakwa segalanya hanyalah rekaan.

Menurut dari penguna media sosial, boyslattee, bahawa gambar kubur yang digunakan dalam hantaran asal sebenarnya dikesan berasal dari carian Google. Penemuan ini menimbulkan spekulasi bahawa kisah yang menjadi perbualan hangat ramai itu sebenarnya adalah ciptaan semata-mata.

Sebelum ini, netizen dikejutkan dengan perkongsian video oleh seorang TikToker bernama Nisa Khainis yang mendakwa seorang bekas rakan serumah arwah tampil menjelaskan keadaan sebenar. Menurutnya, Cikgu Nina dipercayai mengalami gangguan mistik, tidak dapat tidur dan makan selama beberapa hari sebelum meninggal dunia pada pagi Ahad.

Namun, siasatan lanjut yang dilakukan oleh pengguna internet mendapati gambar kononnya menunjukkan pusara arwah adalah hasil muat turun dari internet, sekali gus menimbulkan keraguan terhadap keseluruhan cerita tersebut.

Beberapa warganet juga meluahkan rasa tidak puas hati apabila menyedari telah ‘termakan’ kisah seram berbaur simpati yang didakwa palsu. Ada yang menyifatkan ia sebagai satu bentuk eksploitasi emosi yang tidak bertanggungjawab.

Walau bagaimanapun, sehingga kini, tiada pengesahan rasmi dari pihak keluarga atau pihak berkuasa berkenaan identiti sebenar wanita yang dikaitkan dalam kisah tersebut.

Fenomena tular ini sekali lagi mengingatkan masyarakat akan keperluan menyemak fakta dan sumber sebelum mempercayai atau menyebarkan sesuatu maklumat, lebih-lebih lagi jika ia menyentuh soal kematian dan mistik.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button