Nasional

Banjir: Pinjaman, sewa premis Mara dijadual semula

 

KUALA LUMPUR, 24 Disember 2021 – Prihatin dengan situasi bencana banjir yang melanda, Majlis Amanah Rakyat (MARA) memberi kelonggaran untuk penjadualan semula bayaran balik pinjaman pelajaran kepada mereka yang terlibat.

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, peminjam perniagaan turut diberi kelonggaran itu selain pengecualian bayaran sewaan premis perniagaan kepada peniaga yang terjejas.

“Bagi mereka yang menjadi mangsa banjir dan terkesan dengan bencana itu, mereka boleh memohon kelonggaran tersebut dengan menghubungi Pejabat MARA Negeri atau Daerah berhampiran.

Insentif ini merupakan tanda keprihatinan MARA terhadap kepayahan dan kerugian yang ditanggung oleh penerima kemudahan yang terjejas akibat bencana tersebut,” kata Mahdzir dalam satu kenyataan kepada media hari ini.

Buat masa ini tambah beliau, MARA juga tidak akan meneruskan sebarang tindakan penguatkuasaan ke atas peminjam kemudahan MARA yang terkesan dengan bencana banjir yang melanda kali ini.

Bagi penyewa premis perniagaan MARA pula, pertimbangan pengecualian bayaran sewa adalah berdasarkan kerosakan dan kerugian yang ditanggung oleh penyewa.

“Saya berharap insentif ini sedikit sebanyak akan dapat meringankan beban peminjam terutamanya usahawan dalam memulihkan kembali operasi dan aliran tunai syarikat.

Kita juga amat bersimpati dengan musibah bencana banjir yang melanda kali ini dan berharap agar semua mangsa yang terkesan dapat bersabar dengan ujian yang terpaksa dihadapi ini,” kata Mahdzir.

Mereka yang berkenaan juga boleh mendapatkan maklumat lanjut berkaitan insentif bencana banjir ini, boleh layari laman sesawang https://www.mara.gov.my.

(Visited 205 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button