Rencah Hidup

Bromeliad pokok hiasan berharga kayangan

TAHAP kayangankah Bromeliad apabila pokok hiasan ini dikatakan bukan calang-calang harganya. Kalau ya, tidak hairanlah kerana pertama kali melihat Bromeliad ini, boleh jatuh cinta!

Antara spesies pokok hiasan Bromeliad.

Realitinya tumbuhan tropika yang unik dan eksotik ini memang mempunyai tarikan luar biasa. Bagi peminat pokok hiasan dan pengumpul pokok hiasan, Bromeliad pastinya mencuri perhatian.

Harga tidak lagi menjadi halangan sebaliknya peminat Bromeliad sanggup membayar mahal semata-mata untuk memiliki pokok hiasan ini yang spesiesnya dikatakan lebih 3,000 di seluruh dunia.

Hashimi bersama sebahagian pokok hiasan Bromeliad yang ditanamnya.

Hashimi Mat Suboh, 55, tidak menyangka dirinya akan terjebak untuk memiliki Bromeliad.

Segala-galanya bermula apabila beliau dihadiahkan dengan pokok Bromeliad oleh rakannya yang merupakan  peminat tanaman yang dikatakan berasal dari keluarga nanas ini.

Bromeliad sesuai ditanam di dahan pokok.

“Aechmea Chantinni yang berwarna hijau berbelang putih itu dilihat sangat menarik dan sejak itulah saya mula jatuh cinta dengan Bromeliad dan menjadi “pemburu” spesies baharu,” katanya ketika ditemui di taman bunganya, “Bustani Shimi” yang terletak di Jalan Kurong Batang, Bintong, Perlis.

Sambil tersenyum bangga, kata Hashimi, kini beliau memiliki lebih 100 spesis Bromeliad dan beliau juga tidak akan teragak-agak untuk menambah koleksi spesis pokok hiasan kayangan ini.

Pantang dengar di mana ada jual Bromeliad, Hashimi akui, beliau akan terus mencari untuk membelinya.

“Di mana saya dengar ada nurseri yang menjual Bromeliad, saya akan mencarinya dan akan beli. Saya sanggup dari Perlis pergi ke Kelantan jika ada Bromeliad di sana,” katanya.

Hashimi juga berkata, ada kelebihan menanam Bromeliad kerana pokok hiasan ini tidak perlu dijirus air setiap hari berbanding dengan pokok hiasan yang lain.

Bromeliad yang telah berbunga.

“Senang lagi mudah menanam dan menjaga Bromeliad. Pokok hiasan ini ada kelebihannya apabila ia boleh menyimpan air untuk tempoh selama beberapa hari,” cerita Hashimi.

Bagaimanapun, kata Hashimi, Bromeliad tidak boleh terdedah kepada cahaya matahari terlalu lama, juga  tidak boleh terdedah kepada cuaca panas terik. Cukup sekadar memerlukan cahaya matahari waktu pagi.

Sebelum ini, sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 lalu, semakin ramai menunjukkan minat untuk membeli pokok hiasan itu yang banyak dikongsi dalam akaun Face Booknya dan kebanyakan pelanggannya, adalah dari luar Perlis.

Kata Hashimi yang merupakan pesara guru, beliau tidak bercadang untuk menjadikan minat mendalam terhadap Bromeliad ini sebagai satu perniagaan yang serius.

“Bukan itu hasrat saya tetapi lebih kepada berkongsi minat dan sekaligus dapat dijadikan modal untuk menambah koleksi baharu Bromeliad,” katanya seraya mengakhiri perbualan. – SM

(Visited 1,399 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button