fbpx
BeritaNasional

Tugas doktor bertambah, gaji makin kurang

SEMASA kecil, kita sering ditanya: Bila besar nak jadi apa?

Jika jawapannya ialah saya nak jadi doktor, ibu bapa dan mereka yang bertanya pasti tersenyum lebar. Ini  kerana kerjaya sebagai doktor adalah sangat dihormati dalam sesebuah masyarakat.

Namun, menjelang 2020, bidang kedoktoran mungkin tidak lagi menjadi igauan ibu bapa atau ramai anak muda memandangkan tugas dipikul semakin tidak setimpal dengan gaji diterima.

Hakikatnya, tugas seorang doktor bukan sahaja berusaha merawat pesakit, malah jasanya  mampu ‘menyelamatkan’ nyawa. Mereka sangat diperlukan bagi memastikan masyarakat hidup sihat. Sesebuah negara tidak akan sejahtera jika penduduknya menghidap pelbagai jenis penyakit.

Untuk menjadi seorang doktor juga bukan mudah. Selain berpelajaran tinggi, mereka harus bekerja tidak tentu masa sehingga ada kalanya jarang dapat bersosial kerana tuntutan tugas.


Tentunya mereka mengharapkan pendapatan yang lebih sedikit daripada bidang kerjaya lain.

Justeru, mengambil kira faktor-faktor ini, adalah tidak wajar sekiranya elaun kritikal atau Bayaran Insentif Perkhidmatan Kritikal (BIPK) sebanyak RM750 dimansuhkan mula Januari tahun depan.

Jika tindakan ini dilakukan bagi menyelamatkan ‘kantung’ negara, mungkin ada kelompok pekerjaan lain yang boleh dipertimbangkan.

Menteri, menteri besar, ketua menteri, timbalan menteri, exco, wakil rakyat,  jawatan-jawatan kerajaan penting lain termasuk pegawai-pegawai berpangkat Jusa dan yang seangkatannya – mereka ini mungkin dalam kategori yang lebih layak dipotong gaji atau elaun berbanding doktor yang benar-benar berkhidmat untuk orang ramai.

Seorang menteri atau timbalan menteri tidak pernah dipersoalkan kerana menerima pelbagai elaun yang ada kalanya tidak masuk akal, tetapi doktor, elaun kritikal yang diterima kerana terpaksa bekerja tanpa rehat pula dimansuhkan!

Jumlah doktor pakar makin kritikal

Tentunya keputusan kerajaan ini terpaksa diterima – ditelan walaupun terasa pahitnya.
Mereka harus akur atas nama dedikasi.

Pun begitu, selama mana mereka akan bertahan untuk berkhidmat di klinik-klinik atau hospital kerajaan, itu yang bakal menjadi persoalan.

Berikut perincian gaji seorang doktor muda:

Gaji asas                         :  RM2,947
Saraan khidmat awam :  RM300
Elaun kritikal                  :  RM750
Elaun fleksi                    :  RM600

Jumlah                            :  RM5,197
(tolak KWSP, Perkeso, SIP)
Gaji bersih  (sekarang) :  RM4, 451.55

Gaji mula Jan. 2020

Gaji semasa                      :  RM5,197
tolak elaun kritikal            :  RM750

Jumlah                                :  RM4,447
(tolak KWSP, Perkeso, SIP)
Gaji bersih                          :  RM3,842.55

Lebih malang lagi, difahamkan menjelang 2022, kerajaan berhasrat memansuhkan pula elaun fleksi yang diterima sebanyak RM600 sebulan.

Pun begitu, akan berlaku kenaikan tahunan berganda tetapi jumlahnya masih kurang berbanding nilai yang dimansuhkan tersebut.

Dengan gaji tidak seberapa tetapi dibebani dengan tugas yang semakin berat, tentunya keadaan itu memberi persepsi kurang menyenangkan kepada doktor-doktor muda ini.

Dalam hubungan ini, sejauh mana kerajaan mampu menahan penghijrahan beramai-ramai doktor ke klinik-klinik atau hospital swasta?

Penghijrahan doktor ke hospital swasta

Isu penghijrahan doktor terutama doktor pakar agak tinggi beberapa tahun kebelakangan ini.

Jika dalam tempoh lima tahun atau 2011 hingga 2016, sebanyak 150 doktor pakar kerajaan meletakkan jawatan, jumlah itu meningkat mendadak kepada 124 orang pada tahun 2017.

Trend itu berterusan pada 2018 (Januari hingga September) apabila 128 doktor mengambil langkah serupa berhijrah ke hospital swasta.

Malah, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad pernah berkata, setiap dua hari terdapat sekurang-kurangnya seorang doktor pakar di hospital kerajaan menamatkan khidmatnya untuk menyertai sektor swasta.

Isu lebih penting yang harus ditimbulkan ialah siapa akan menggantikan doktor-doktor pakar di hospital kerajaan yang telah berhijrah ini?

Laporan Ketua Audit Negara 2018 Siri 1, antara lain merumuskan bahawa terdapat kekurangan kakitangan di hospital kerajaan dan beban kerja tinggi melebihi keupayaan tenaga kerja.

Majoriti yang memilih kerjaya untuk berkhidmat di sektor kesihatan, baik doktor, jururawat, ahli farmasi atau pembantu perubatan, berbuat demikian kerana rasa tanggungjawab sosial untuk membantu masyarakat awam.

Melihat kepada perkembangan terbaharu, kemungkinan lebih ramai dalam kalangan doktor yang akan meninggalkan klinik dan hospital kerajaan kerana tertarik dengan tawaran gaji lumayan oleh pihak swasta adalah sangat besar.

Walaupun Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad ketika pembentangan Belanjawan 2019, mengarahkan Kementerian Kesihatan mengambil 3,000 pelajar perubatan untuk melakukan latihan bagi mengatasi masalah pemindahan pakar perubatan, namun langkah itu hanya mampu menangani isu buat sementara.

Tidak dinafikan, tiada siapa dapat menahan penghijahan yang berlaku. Dan punca utamanya adalah kerana isu gaji dan bebanan tugas.

Sementara itu, Persatuan Perubatan Islam Malaysia (Imam) turut mempersoalkan kewajaran kerajaan memansuhkan BIPK bagi penjawat awam dalam sektor kesihatan.

Jawatankuasa Eksekutif Imam dalam satu kenyataan menolak pemansuhan elaun kritikal  bukan berlandaskan isu kewangan semata-mata tetapi berasaskan nilai profesion perubatan.

“Jabatan Perkhidmatan Awam dalam kenyataan rasmi bertarikh 25 Disember 2019 menyatakan, dari segi prinsipnya, pemberian BIPK adalah tidak kekal serta boleh ditarik balik apabila perkhidmatan berkenaan tidak lagi kritikal.

“Persoalanan pokoknya ialah adakah wajar menganggap perkhidmatan perubatan kini sebagai tidak lagi kritikal,” kata kenyataan itu.

Tambah kenyataan itu, walaupun secara zahirnya perjawatan dalam sektor kesihatan dilihat sebagai penuh, namun yang lebih nyata adalah beban tugas yang semakin tinggi dan tidak sepadan dengan bilangan petugas yang ada.

Dalam hal ini, yang dibimbangi terus menjadi mangsa percaturan ini adalah rakyat kebanyakan.

Mereka bukan sahaja tidak mampu mendapatkan rawatan pakar di hospital swasta yang kosnya jauh lebih mahal, di hospital kerajaan pula, perkhidmatan itu hanya diisi oleh doktor-doktor muda yang juga menunggu masa untuk berhijrah!

Show More

Related Articles

Back to top button