fbpx
Politik

Tuduhan PKR tak berasas, PN didaftar 7 Ogos – ROS

JABATAN Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) menafikan kenyataan Naib Ketua Angkatan Muda Keadilan Syed Badli Shah Syed Osman bahawa tiada rekod daftar parti Perikatan Nasional.

Menurut ROS, kenyataan yang dibuat oleh Syed Badli Shah adalah tidak benar dan tidak berasas.

ROS dalam satu kenyataan berkata, pendaftaran parti Perikatan Nasional telah diluluskan dan berkuatkuasa pada 7 Ogo di bawah kategori politik selaras dengan peruntukan Akta Pertubuhan 1966 [Akta 335].

Sijil Pendaftaran, logo parti dan perlembagaan parti tersebut juga telah ditandatangani dan dikemukakan kepada Parti Perikatan Nasional sebaik sahaja pendaftaran parti diluluskan.

Jelasnya, parti Perikatan Nasional telah didaftarkan melalui pengeluaran sijil pendaftaran PPM-019-14-07082020 yang dilulus dan ditandatangani oleh Pendaftar Pertubuhan.


“Sehubungan itu, JPPM sekali lagi menegaskan bahawa kenyataan yang menyatakan “Perikatan Nasional Tiada Rekod Daftar Parti” adalah tidak berasas sama sekali.

“Dakwaan bahawa maklumat kelulusan Parti Perikatan Nasional tidak terdapat dalam sistem JPPM adalah tidak benar kerana sistem di laman sesawang JPPM bagi kelulusan sesebuah pertubuhan adalah dikemaskini secara automatik setiap dua bulan,” katanya.

Jelas ROS, kelulusan parti Perikatan Nasional hanya akan tertera dalam carian umum laman sesawang JPPM pada awal Oktober 2020, ini kerana Perikatan Nasional diluluskan pada Ogos 2020.

“Walau bagaimanapun, sekiranya ada carian khusus dalam sistem pertubuhan eROSES ia akan jelas memaparkan Parti Perikatan Nasional diluluskan pada tarikh 7 Ogos
2020.

“Maklumat Parti yang terdapat dalam sistem eROSES hanya boleh diakses oleh Setiausaha Parti tersebut sahaja,” kata ROS.

Syed Badli hari ini berkata, semakan beliau setakat pukul 2.22 pagi tadi tiada rekod berkaitan pendaftaran Perikatan Nasional berjaya dipaparkan dalam laman sesawang ROS.

“Saya telah membuat semakan melalui laman sesawang pendaftar pertubuhan (ROS) berkaitan status pendaftaran Parti Perikatan Nasional (PN) dan saya mendapati tiada rekod ditemui.

“Semakan seterusnya keatas nama “Perikatan Nasional” atau “Prikatan Nasional” turut tidak menemui sebarang rekod daftar.

“Jika benar Parti Perikatan Nasional masih gagal didaftarkan beerti semua calon-calon yang masuk bertanding pada Pilihanraya Negeri Sabah kali ini di atas bendera Perikatan Nasional haruslah dibatalkan,” kata Syed Badli.

Show More

KHAIRULANUAR YAHAYA

Khairulanuar mempunyai pengalaman sebagai wartawan di Karangkraf, Bernama TV dan terakhir di Utusan Malaysia. Pernah membuat liputan kemanusiaan di Gaza, Pakistan, Jepun, Somalia, Lubnan dan Syria. 'Kehilangan' jurukamera, Noramfaizul ketika sama-sama bertugas di Somalia sesuatu yang tidak pernah beliau lupakan.

Related Articles

Back to top button