Politik

Tubuh siasatan diraja siasat tuduhan KPN terhadap Menteri KDN – Pembangkang

BEBERAPA ahli Parlimen pembangkang tampil di media sosial mendesak agar satu Suruhajaya Diraja Penyiasatan dibuat terhadap tuduhan yang dilemparkan oleh Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador terhadap Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Zanuddin Hamzah.

Tuduhan kononnya Menteri Dalam Negeri campurtangan dalam urusan pentadbiran Polis Diraja Malaysia tidak sewajarnya dibiarkan.

Ahli Parlimen Amanah Datuk Seri Salahuddin Ayub misalnya meminta tolong kepada Yang di-Pertuan Agong suapaya memperkenankan penubuhan Suruhajaya Diraja Penyiasatan.

“Ampun Tuanku. Perang terbuka antara IGP dan Menteri KDN belum pernah berlaku sedemikian dahsyat dalam sejarah negara sejak merdeka.

“Mohon perkenan Tuanku tubuh RCI secepat mungkin untuk cari jalan penyelesaian. Ini soal keselamatan negara Tuanku. Tolong kami Tuanku,” ciap Ahli Parlimen Pulai itu.


Ahli Parlimen DAP Anthony Loke pula berkata, demi mengembalikan kewibawaan dan kredibiliti PDRM, penubuhan Suruhanjaya Diraja Penyiasatan untuk menyiasat segala tuduhan Abdul Hamid adalah langkah yang wajib dilaksanakan oleh kerajaan.

“Kelantangan beliau untuk menyuarakan segala masalah dan isu yang membelenggu pasukan PDRM dalam sidang media terakhir sebagai IGP adalah sesuatu yang tidak pernah berlaku.

“Dalam pengetahuan saya, tidak pernah seorang IGP yang bersara mengkritik tindak-tanduk Menteri Dalam Negeri dengan begitu tajam dan terbuka, lebih-lebih lagi menuduh Menteri campur tangan dalam urusan pentadbiran PDRM.

“Tuduhan ini bukan dari calang-calang orangnya. Ini dari orang nombor satu dalam pasukan Polis Diraja Malaysia. Sudah tentu ini membawa bebanan yang sangat tinggi dan tidak boleh disapu di bawah karpet begitu sahaja,” kata Ahli Parlimen Seremban itu.

Semalam dalam sidang media terakhirnya sebagai Ketua Polis Negara, Abdul Hamid mengakui tidak senang dengan tindakan Hamzah campur tangan dalam urusan polis.

“Ini yang patut dihindarkan (campur tangan), tidak boleh seseorang menteri campur urusan kawal selia PDRM.

“Beliau (Hamzah) hanya diberikan kuasa untuk tetapkan dasar… apakah hala tuju pasukan, adakah pasukan ini pincang ataupun pasukan ini ada masalah.

“Itu peranan dan tanggungjawab beliau (sebagai Pengerusi SPP), bukannya tentukan siapa CPO (Ketua Polis Negeri) siapa pengarah, peranan beliau sebagai Pengerusi SPP ada hadnya,” katanya dalam sidang media di Bukit Aman semalam.

Kata beliau, tindakan ahli politik yang dilihat cuba menguasai SPP dan PDRM akan menyukarkan tugas Ketua Polis Negara dalam mengawal selia PDRM.

Abdul Hamid mendedahkan mengenai campur tangan itu beberapa jam selepas Hamzah mengakui, rakaman audio perbualan mengenai kenaikan pangkat dan pertukaran jawatan dalam PDRM yang tular sejak beberapa hari lalu merupakan suara beliau.-SM

(Visited 99 times, 1 visits today)

Show More

KHAIRULANUAR YAHAYA

Khairulanuar mempunyai pengalaman sebagai wartawan di Karangkraf, Bernama TV dan terakhir di Utusan Malaysia. Pernah membuat liputan kemanusiaan di Gaza, Pakistan, Jepun, Somalia, Lubnan dan Syria. 'Kehilangan' jurukamera, Noramfaizul ketika sama-sama bertugas di Somalia sesuatu yang tidak pernah beliau lupakan.

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button