Nasional

Tuanku Zara Salim berkenan rasmi sambutan 25 tahun, lancar nombor pendaftaran kenderaan UPSI

Tanjung Malim, 24 Mei 2022: Duli Yang Maha Mulia Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan, Tuanku Zara Salim, Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) hari ini berkenan berangkat mencemar duli meraikan majlis sambutan Aidilfitri dan sambutan permasyhuran 25 tahun UPSI.

Sempena majlis yang diadakan di Dewan Tuanku Canselor, Kampus Sultan Azlan Shah itu, Baginda turut melancarkan Siri Nombor Pendaftaran Kenderaan UPSI iaitu “UG” yang bermaksud “(Universiti Guru) untuk mengimbau kenangan terutama kepada alumni Alumni Anak Kandung Suluh Budiman (SITC, MPSI, IPSI, UPSI).

Dengan pelancaran nombor pendaftaran kenderaan yang disaksikan lebih 5 ribu hadirin yang terdiri daripada pelajar, warga universiti, ketua-ketua jabatan, penduduk sekitar Muallim serta pesara dan alumni UPSI, akan membantu penjanaan universiti dengan lebih mampan di bawah UPSI Holding Sdn Bhd.

Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim memotong kek sambutan 25 tahun UPSI selepas melafazkan pelancaran Nombor Pendaftaran Kenderaan UPSI di Dewan Tuanku Canselor, Kampus Sultan Azlan Shah, Proton City.

Naib Canselor UPSI, Profesor Datuk Dr Md Amin Md Taff dalam sembah ucapan berkata, UPSI mensasarkan untuk muncul sebagai universiti 100 tercemerlang di dunia dalam bidang pendidikan seterusnya merapatkan ukhuwah komuniti melalui pelbagai program usahasama pendidikan, pemantapan ekonomi, kesukarelawanan dan pembangunan selaras hasrat negara memasyarakatkan universiti.

“Tahun ini genaplah 25 tahun penubuhan universiti yang ulung lagi bersejarah ini. Tanggal keramat 1 Mei 1997, Institut Perguruan Sultan Idris (IPSI) dinaik taraf menjadi Universiti Pendidikan Sultan Idris pada 1 Mei 1997,” katanya.

Kini, katanya, UPSI ditunjangi sembilan fakulti dan Institut Pengajian Siswazah (IPS) yang menawarkan lebih 150 program pengajian pra dan pasca siswazah selaras dengan perkembangan dan keperluan pendidikan pengajian tinggi negara.

Beliau berkata sejak ditubuhkan pada 1 Mei 1997, banyak kejayaan dicapai UPSI termasuk menubuhkan Pusat Penyelidikan Data Kanak-Kanak Negara (NCDRC), Muzium Pendidikan Nasional, Adventure Leadership & Outdoor Leadership Academy (AURORA), UPSI Adventure Park (UAP), Sekolah Pondok Bitara, Center of Pedagogical Research & Innovation (CPRI), Zaaba Studio dan Pusat Pendidikan Hijau yang menjadi rujukan utama di dalam dan di luar negara.

“Malah UPSI amat berbangga apabila diamanahkan Perdana Menteri Malaysia baru-baru ini untuk menubuhkan Pusat Penyelidikan Keluarga Malaysia dan Pusat Pendidikan dan Penyelidikan Automotif Negara (CAART) di universiti yang bertuah ini,” katanya.

Sehubungan itu, katanya, UPSI akan bersama Proton – Geely, DRB Hicom dan industri setempat yang diharapkan dapat membantu industri automotif negara di samping memacu kemajuan ekonomi di Daerah Muallim.

Sementara itu, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad dalam ucapannya berkata pendidik lepasan UPSI atau Ibu Kandung Suluh Budiman melakar pelbagai kejayaan sepanjang 25 tahun setelah melalui pelbagai liku dan onak duri untuk membina legasi dan kemasyhuran sehingga peringkat antarabangsa.

“Saya ingin melihat hubungan kerjasama UPSI dengan Kerajaan Negeri Perak sentiasa diperkukuhkan dalam memartabatkan bidang pendidikan anak-anak Perak termasuk anak orang Asli menerusi pakar-pakar UPSI dengan kerjasama Northern Corridor Economic Region (NCER),” katanya.

Jemputan dan hadirin kemudiaannya menikmati pelbagai juadah sempena Sambutan Aidil Fitri UPSI di perkarangan Dewan Tuanku Canselor.

Sempena program , Pendaftar UPSI, Helmi Zaifura Abdul Rahman menyampaikan hadiah kepada pemenang pertandingan foto bertemakan “Tiba-tiba Raya” anjuran Bahagian Komunikasi Korporat (BKK).

Johan dimenangi Institut Pengajian Siswazah yang membawa pulan wang tunai RM 300 ; naib johan , Perpustakaan tuanku Bainun (RM200) dan ketiga dimenangi oleh Fakulti Muzik dan Seni Persembahan bersama wang tunai RM100.

BAHAGIAN KOMUNIKASI KORPORAT UPSI
24 MEI 2022

(Visited 597 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button